AWIE ditemui pada majlis sidang media Konsert "Journey" Awie: Kombinasi Monolog Dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni. FOTO Amirudin Sahib
AWIE ditemui pada majlis sidang media Konsert "Journey" Awie: Kombinasi Monolog Dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni. FOTO Amirudin Sahib
Zaara Talita

Kuala Lumpur : Penyanyi rock legenda, Datuk Awie berkongsi keadaan kesihatannya belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian pinggangnya pada tahun 2021.

Awie atau pemilik nama penuh, Ahmad Azhar Othman berkata, dia bagaimana pun masih mampu memberikan persembahan terbaik di atas pentas kerana itu adalah terapi buat dirinya. 

"Apa yang boleh saya katakan, keadaan saya sekarang okey, Alhamdulillah. Nak kata pulih sepenuhnya tidak. Tapi nak lakukan konsert selama dua tiga jam itu masih mampu melakukannya.

"Bukan apa, pada saya melakukan konsert dan berada di atas pentas merupakan terapi buat minda saya," katanya kepada Harian Metro.

Awie mengulas mengenai keadaan kesihatannya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert "Journey" Awie: Kombinasi Monolog Dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni, semalam.

Awie berkata, dia mengambil pendekatan masih perlu berhati-hati melakukan aktiviti harian terutama bersenam selepas menjalani pembedahan berkenaan.

"Saya perlu lebih berhati-hati selepas menjalani pembedahan, badan saya pun tidak seperti dahulu. Badan sudah ditebuk bahagian sini dan situ, jadi tak sama lagi.

"Doktor tidak memberikan saranan untuk melakukan senaman berat jadi saya cuba lakukan secara bersederhana untuk kekalkan kecergasan badan saya.

"Saya pernah janji pada diri sendiri untuk menjaga kesihatan kerana saya ada isteri dan anak-anak. Saya tidak  mahu susahkan isteri. Mereka adalah sumber kekuatan saya," katanya.

 Awie sebelum ini mendedahkan dia pernah menjalani pembedahan tumor pada bahagian buah pinggangnya di sebuah hospital swasta di ibu kota.

Berkongsi mengenai konsert yang bakal dijayakan pada 3 Ogos depan, Awie yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur ini bagi meraikan perjalanan 30 tahun Dato' Awie di dalam dunia seni sejak 1985 sebagai artis solo.

"Konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan yang paling manis buat semua peminat. Tema dan konsep unik yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini merupakan bingkisan yang begitu peribadi dari saya untuk semua. 

"Hanya yang terbaik untuk semua peminat yang hadir pada 3 Ogos nanti." katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 11:41 AM