PUTERI Sarah ditemui selepas sidang media pelancaran drama TV3 berjudul Polis Peronda di Sri Pentas. FOTO Genes Gulitah
PUTERI Sarah ditemui selepas sidang media pelancaran drama TV3 berjudul Polis Peronda di Sri Pentas. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana atau Sarah, 39, terkejut apabila seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon Nadia Brian menawarkannya jadi 'peneman' golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000.

Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata kejadian itu berlaku minggu lalu yang mana mulanya dia ingatkan ajakan berkenaan adalah untuk tujuan kerja.

"Dia bertanya jam berapa saya habis 'shooting'. Dia meminta saya berjumpa seseorang dikenali sebagai Datuk Shahrul pada jam 10 malam. Saya bingung, jumpa orang itu sebab ada tawarankah? Penerbit baharukah?

"Selepas itu dia cakap, foto dan video dilarang. Dia cakap untuk teman-teman minum kopi, bayaran RM15,000. Saya bertegas kepadanya, saya tak buat kerja-kerja begitu.

"Selepas penggambaran, terus balik ke pangkuan anak-anaklah," katanya ditemui selepas sidang media pelancaran drama TV3 berjudul Polis Peronda di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.

Pada awalnya, Sarah memang ingatkan wanita itu adalah Nadia kerana suaranya pun mirip juga. Mengesyaki sesuatu tidak kena, dia terus hubungi Nadia demi dapatkan kepastian.

"Wanita itu mula menghubungi saya pada jam 9 pagi. Cara-cara dia cakap pun macam Nadia. Sebab saya pun baru jumpa Nadia pada malam sebelumnya di majlis resepsi Janna Nick. 

"Saya rasa sesuatu tak kena, lalu terus hubungi Nadia. Saya tanya sama ada dia ada nombor telefon berbeza dan dia jawab tak ada. Saya beritahulah pasal orang guna nombornya menyamar jadi dia.

"Rasanya tempoh hari Nadia ada masukkan dalam Instagram dia," katanya.

Kebetulan sedang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, untuk jayakan penggambaran drama Polis Peronda, Sarah terus membuat laporan mengenai kes menimpanya itu.

Polis Peronda itu turut dibintangi Shah Iskandar, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi. Intipatinya menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam melalui jalan cerita yang penuh dengan aksi, misteri dan emosi.

Drama terbitan Skop Productions Sdn. Bhd dan arahan Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan itu ditayangkan bermula 28 Jun, setiap Jumaat, jam 10 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:45 AM