COKELAT ada tarikan sendiri.
COKELAT ada tarikan sendiri.
Zaara Talita


SELEPAS hampir 12 tahun membawa haluan masing-masing, kumpulan Cokelat mengakui pada mulanya sedikit janggal untuk kembali mewujudkan persahabatan yang pernah terjalin.

Enggan memaksa keadaan yang baru saja bertaut kembali, Kikan selaku vokalis berkongsi mereka bertemu di studio namun mengambil pendekatan berhenti rehat kerana terlalu kekok.

Cadangan berkenaan membuahkan hasil yang mana masing-masing kembali selesa seperti kumpulan Cokelat tidak pernah berpecah.

"Pada awalnya kami sedikit janggal apabila terus masuk ke studio bersama-sama selepas lama terpisah. Malah, timbul di benak fikiran sama ada idea ini salah dan kami tidak seharusnya kembali bekerjasama.

"Namun pengurus yang juga suami saya mencadangkan untuk kami keluar makan bersama. Dari situlah, kami mula selesa sebelum kembali ke studio untuk berlatih bersama-sama.

"Tidak mungkin selepas 12 tahun kami boleh terus 'jamming' seperti tiada apa yang berlaku. Namun 'chemistry' itu kembali wujud selepas kami makan tengahari dan berborak bersama," kata Kikan.

Dalam pada itu, Kikan atau pemilik nama penuh, Kikan Namara juga mendedahkan berasa benci apabila masih dipanggil Kikan Cokelat selepas mengundurkan diri daripada kumpulan popular Indonesia itu pada tahun 2010.

Katanya, hubungan mereka tidak baik sepanjang 12 tahun 'berpisah' sehingga dia enggan dikaitkan dengan nama mahupun rakan seperjuangan lain sebaik memilih bergerak solo.

KONSERT Cokelat diadakan pada 7 September nanti.
KONSERT Cokelat diadakan pada 7 September nanti.

"Saya ini Kikan Namara, saya usaha bermati-matian melepaskan diri dari bayang-bayang Cokelat tetapi siapa sangka akhirnya kami bersatu kembali pada 2022.

"Mungkin ini rahsia Allah. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergabung dengan abang-abang saya di sini. Jadi reunion ini sangat istimewa," katanya.

Menyentuh mengenai penyatuan semula dengan bandnya sejak dua tahun lalu, penyanyi berusia 48 tahun itu tidak menolak gabungan ini direalisasikan atas usaha pemain gitar, Edwin dan pengurusnya, Udzir Harris.

"Edwin mewakili pasukan Cokelat manakala Udzir pula KL mewakili saya. Mereka berdua inilah yang bersungguh-sungguh berkomunikasi tanpa pengetahuan saya untuk memujuk kembali.

"Sebenarnya saya memang marah dengan Udzir yang juga suami saya pada awalnya kerana berhubung dengan Cokelat selepas sekian lama kami memilih jalan masing-masing," kata Kikan lagi.

Pada masa sama, Kikan turut mendedahkan punca pengundurannya adalah mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga terutama anak yang masih kecil ketika itu.

"Selama dua tahun saya berperang dengan batin sebelum akhirnya membuat keputusan memilih keluar kerana merasakan itu yang terbaik," katanya.

Selain Kikan dan Edwin, band asal Bandung yang ditubuhkan pada 1996 itu turut dibarisi Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram).

Band yang berpisah selama 12 tahun itu kembali bersatu pada Hari Kemerdekaan Indonesia yang berlangsung 17 Ogos 2022.

Bersempena penggabungan Cokelat, Kikan bersama empat rakannya diterbangkan ke Malaysia menerusi konsert mega di Zepp Kuala Lumpur pada 7 September ini.

Dianjurkan Tanjak Global Services, tiket menyaksikan konsert kumpulan rock alternatif dijual pada harga antara RM139 hingga RM380.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:30 AM