Sudirman Mohd Tahir


Shah Alam: Pempengaruh Siti Jamumall menanggung kerugian RM70,000 ekoran membatalkan majlis pernikahan dengan seorang lelaki yang dijadual berlangsung pada 31 Mei lalu.

Siti, 25, atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin bagaimanapun memilih untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah di Satun, Thailand pada 1 Jun lalu.

Siti berkata, keputusan membatalkan majlis itu dibuat selepas berbincang dengan kedua belah pihak.

"Saya tidak menyimpan apa-apa dendam dan enggan peduli menanggung kos kerugian sebanyak RM70,000 meskipun pernikahan itu tidak berlaku. Kos itu membabitkan keseluruhan majlis termasuk tempahan dewan, makan dan sebagainya.

Siti Jamumall bersama suaminya.
Siti Jamumall bersama suaminya.

"Pembatalan dibuat dua hari sebelum majlis nak berlangsung. Keputusan tidak dibuat secara terburu-buru dan saya sudah melakukan solat istikarah.

"Bagi saya siapa kita nak halang takdir, Allah yang tetapkan. Sebelum ini selalu dengar cerita orang lain hadapi dugaan bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin bersama orang lain, siapa sangka perkara tersebut terjadi kepada saya," katanya pada sesi sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Berkongsi mengenai perkahwinan dengan Aiman, Siti berkata keputusan untuk berkahwin dengan di Thailand kerana mahu mempercepat pernikahan dengan pilihan hati.

Menurutnya, proses dokumentasi perkahwinan di dalam negara lazimnya mengambil masa yang lama.

"Ramai orang tak tahu saya sebenarnya perlu terbang ke Dubai selepas batalkan perkahwinan dengan bekas tunang pada 31 Mei lalu.

"Sebagaimana yang orang tahu, urusan dokumentasi untuk berkahwin mengambil masa yang lama di sini.

"Bagaimanapun, saya tidak galakkan orang ramai untuk berkahwin di luar negara seperti apa yang saya lakukan tetapi apa salahnya kahwin di luar Malaysia. Namun, saya sudah memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak," katanya.

Pada masa sama, Siti yang juga usahawan itu sudah menghantar borang pendaftaran pernikahan di sini dan bersedia untuk membayar denda.

Terdahulu, Siti pernah berkahwin sebelum ini namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:35 PM