Kasih Iris Leona
Kasih Iris Leona
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Personaliti media sosial, Kasih Iris Leona meluahkan rasa rimas dengan sikap segelintir warga maya yang mempersoalkan kesihatannya sehingga membuatkan dia menjalani pemeriksaan berhubung penyakit tiroid.

Jelas anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu, lehernya kelihatan bengkak bukan disebabkan penyakit berkenaan sebaliknya diselaputi lemak yang menebal.

"Saya sebenarnya rasa tidak perlu untuk membuat kenyataan berhubung masalah leher saya ini, namun apabila banyak yang meninggalkan komen menyuruh saya membuat pemeriksaan kesihatan, jadi rimas pula.

"Saya tahu saya sihat namun apabila ramai yang begitu 'concern' (ambil berat) mengenai leher saya, akhirnya saya berjumpa doktor untuk jalani pemeriksaan bagi mendapat pengesahan.

"Oleh itu, ini adalah kali terakhir saya mengulas mengenai perkara ini. Saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai masalah tiroid ini lagi. Saya sihat dan tiada masalah tiroid," kata Leona.

Dalam pada itu, Leona juga berharap penjelasannya itu mampu membuat orang ramai tidak lagi bercakap mengenai bentuk lehernya.

"Terima kasih kerana ambil berat tetapi itu agak biadab berikan komen tentang badan orang lain kerana isu itu agak sensitif.

"Bagaimana pun saya akui doktor turut menyarankan saya untuk mengurangkan berat badan bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:53 PM