ALYPH muncul hiburkan penonton di Lights & Arts Expressive Showcase, baru-baru ini.
ALYPH muncul hiburkan penonton di Lights & Arts Expressive Showcase, baru-baru ini.
Norhayati Nordin

SELAIN Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Naim Daniel yang muncul menghiburkan penonton dan peminat mereka di Lights & Arts Expressive Showcase, komposer serta penyanyi dari Singapura, Alyph turut mendapat peluang itu.

Lights & Arts Expressive Showcase yang berlangsung di Muzium Telekom di ibu kota pada malam Sabtu dan Ahad untuk dua minggu berturut-turut itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 TV3.

Alyph, 35, yang tidak asing dengan nuansa lagu hip hop dan pernah dikenali secara duo sebagai SleeQ sebelum ini, nampaknya begitu selesa bergerak solo dengan lagu yang segar serta menepati cita rasa penggemar

muzik masa kini.

Pada persembahannya berlangsung kira-kira satu jam 30 minit itu, Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah muncul menghiburkan penonton dan peminatnya dengan enam lagu solo popular yang semestinya diminati ramai.

"Tahniah kepada TV3 kerana sudah empat dekad berada dalam industri penyiaran Malaysia dan pastinya sudah banyak cabaran dilalui untuk terus kekal bertahan sehingga sekarang.

"Selamat ulang tahun ke-40 TV3 dan terima kasih menjemput saya untuk meraikannya bersama-sama, termasuk dapat menghiburkan anda semua di Lights & Arts Expressive Showcase ini.

"Harapan saya agar semua yang hadir di 'showcase' (persembahan) ini terhibur. Lebih menarik lagi kita juga disediakan 'games' (permainan) untuk saya dan kalian dapat bermain bersama," katanya.

Terdahulu, bapa dua cahaya mata ini memulakan persembahan nyanyiannya dengan dua lagu iaitu Adakah Kau Mendengar dan Buat Selamanya yang ternyata diminati penonton apabila didapati ada yang 'sing along'.

Mesra berinteraksi dengan penonton, Alyph yang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri meneruskan persembahannya dengan dua lagi lagu berjudul Sampai Jadi dan Check yang turut diminati ramai.

Bagaimanapun, pasti tidak lengkap untuk perembahan Alyph pada malam Ahad baru-baru ini sekiranya tidak menyanyikan lagu Swipe dan juga karya barunya yang bergenre R&B, Dari Jauh untuk terus menghiburkan penonton.

Selain persembahan daripada barisan penyanyi popular, orang ramai yang berkunjung turut berkesempatan menyaksikan keajaiban TV3 menerusi Inspirasi Art Showcase yang memaparkan hasil karya tujuh anak seni tempatan mengubah enam bilik di Muzium Telekom itu.

Agak menakjubkan apabila semua bilik berkenaan diubah menggunakan projek pemetaan cahaya dan seni digital yang mengasyikkan. Malah, ia juga terbuka kepada orang ramai menyaksikannya sejak 20 Mei lalu dengan kemasukan secara percuma.

TV3 mula beroperasi sejak 1984 dan sepanjang tempoh ini bermacam genre drama bersiri, program hiburan, sitkom, rancangan bual bicara, sukan, bisnes, kesihatan, keagamaan dan sebagainya sudah disiarkan untuk penonton pelbagai peringkat usia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:20 AM