KISAH silam keluarga menimbulkan konflik dalam percintaan.
KISAH silam keluarga menimbulkan konflik dalam percintaan.

PERCINTAAN antara dua darjat yang berbeza akhirnya terputus jua dek kerana kisah silam keluarga.

Terbaharu di slot Akasia TV3, drama Dua Darjat menyaksikan gandingan mantap pelakon meningkat naik, Sharifah Rose dan Aniq Durar.

Drama bersiri 13 episod terbitan Tanah Beris Film Production setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam mula disiarkan sejak 12 Jun lalu.

Selain Sharifah dan Aniq drama arahan Shuhaimi Lua turut menampilkan pelakon popular tanah air antaranya Sharifah Zarina, Yasmin Hani, Iman Suhana, Zarul Umbrella, dan ramai lagi.

Menurut Sharifah Rose, dia bersyukur diberi peranan penting dan berharap drama ini dapat diterima penonton.

"Saya bersyukur dan gembira diberi kepercayaan menjadi watak utama dalam drama ini. Walaupun ini bukan pertama kali diberi kepercayaan membawa watak utama, pada saya setiap drama ada keistimewaan tersendiri yang membuatkan saya tidak sambil lewa ketika penggambaran.

"Saya masih dalam proses pembelajaran dan terbuka dalam menerima apa jua ilmu dan teguran ketika di set. Saya harap agar drama Dua Darjat mendapat sambutan baik penonton," katanya.

Dua Darjat mengisahkan Hanif yang dibesarkan ibunya merupakan pelajar bijak pandai dan mempunyai impian menjadi seorang peguam yang berjaya.

Walaupun perwatakannya sentiasa dingin, dia tetap dikenali ramai dalam kalangan pelajar perempuan.

Ariana adalah rakan sekelas Hanif yang bersikap ceria, menyimpan perasaan terhadap Hanif. Dia menggunakan jawatannya sebagai pengawas untuk mendekatkan diri dengan Hanif.

Hubungan mereka mulai rapat apabila Hanif menyelamatkan Ariana daripada ahli kongsi gelap.

Lily, ibu tiri Ariana memberi amaran kepada ibu Hanif, Rashidah agar Hanif menjauhkan diri daripada Ariana kerana bimbang hubungan mereka semakin rapat.

Menurut Lily, Hanif dan Ariana tidak boleh berkahwin kerana mereka ada pertalian rapat iaitu mempunyai bapa yang sama.

Hanif yang mengetahui akan hal itu mengambil keputusan menjauhkan diri dari Ariana dengan memutuskan hubungan tanpa sebarang berita.

Hidup dalam dua dunia yang berbeza, cinta, konflik, dan pengorbanan... Apakah kesudahan kisah mereka? Jangan ketinggalan menonton Dua Darjat dan strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:30 AM