Thanuja Anathan
Thanuja Anathan
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Thanuja Anathan mengaku sedang menyulam bahagia dengan jejaka berasal dari London yang kini menetap di Malaysia sejak lapan bulan lalu.

Thanuja berkata, dia mengenali lelaki itu selepas diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan memiliki perbezaan usia lapan tahun.

"Ya, ada seseorang yang sudah bertakhta di hati saya. Dia sangat istimewa dalam hidup saya sekarang. Hubungan kami masih di peringkat awal, tetapi saya sangat gembira dan kita lihat nanti dalam tempoh setahun dua ini.

"Sejujurnya kami sudah ada perancangan untuk membawa hubungan ini lebih jauh tetapi setakat ini belum ada apa-apa yang boleh dikongsikan.

"Cuma kami kerap berjumpa sebab dia sudah pencen dan menetap di Malaysia. Kami juga kerap melancong bersama," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Padu di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, semalam.

Belum bersedia untuk mendedahkan wajah dan nama teman istimewanya buat masa ini, Thanuja bagaimanapun berkata, teman lelakinya itu mempunyai keperibadian yang cukup disenangi dan menerima dia seadanya.

"Saya suka dia sebab dia faham kerja saya dan sentiasa memberi sokongan. Malah dia juga pencinta haiwan seperti saya.

"Mudah kata, dia faham saya. Kalau diikutkan saya ini seorang yang sangat berfikiran terbuka dan agak lantang bersuara. Bukan semua orang boleh terima wanita seperti ini," katanya.

Ditanya mengapa tidak memilih jejaka dari Malaysia untuk dijadikan teman hidup, Thanuja berkata, kebanyakan jejaka Malaysia takut untuk mendekatinya kerana faktor ketinggian.

"Ramai yang tak berani nak dekat sebab ketinggian saya. Sebenarnya saya tak memilih, saya okay saja asalkan nilai dan memiliki pemikiran yang sama," katanya.

Selain Thanuja, filem Padu arahan Faisal Ishak itu turut dibintangi Fify Azmi, Jojo Goh, Lim Mei Fen dan Datin Seri Umie Aida.

Filem terbitan Global Station Sdn Bhd itu mengisahkan peristiwa sebenar daripada pengalaman pemain utama pasukan bola keranjang wanita negara dalam usaha meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 3:18 PM