Rosyam Nor
Rosyam Nor
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : 'Oh peperiksaan'. Ini antara dialog Datuk Rosyam Nor ketika dia berlakon dalam filem pertamanya, Gila-Gila Remaja pada 1986.

Sebagai pelakon baru, lakonan Rosyam sebagai Remy dalam filem itu memang 'kayu' dan keras.

"Kalau anda ingat, macam mana dialog saya, 'Oh, peperiksaan'. Bodoh tak? Bodoh kan? Jadi, bagilah peluang kepada mereka (pelakon baru)," katanya ketika ditanya mengenai pandangan sesetengah artis senior yang melabelkan artis baharu sebagai tidak berdisiplin dan lebih banyak mencipta kontroversi berbanding bakat.

Rosyam ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Keluang Man berkata, peluang harus diberikan kepada pendatang baru untuk membuktikan bakat mereka.

"Kadang-kadang mereka masuk ke dalam industri, mereka tak tahu lagi bagaimana 'permainan' dia. Tapi, lama kelamaan mereka akan berubah. Bagi masa dan peluang untuk mereka berubah.

"Jujurnya, zaman saya dulu, ramai tak artis yang tak berdisiplin? Ramai. Tapi, apabila mereka dah matang, mereka berdisiplin kerana mereka tahu ini kerja mereka.

"Jadi, saya tak boleh terima kalau orang kata artis baharu ini tak ada disiplin, kayu, itu dan ini. Sama saja. Zaman saja berubah. Mereka orang baru kan. Saya dulu berlakon pun macam 'tahi' juga," katanya.

Rosyam berkata, kita harus mengikuti peredaran zaman dan tidak boleh hanya tersekat di satu zaman saja.

"Zaman saya pun ada artis yang tak berdisiplin. Artis yang mengatakan artis hari ini tak ada disiplin, mereka pun dulu tak ada disiplin juga. Sama saja kan? Janganlah kita nak mengecam artis baru.

"Apa, kau nak cakap artis dulu baik? Artis sekarang tak elok? Sama sahaja. Ada juga artis dulu terbabit skandal atau apa. Ada saja. Tapi, dulu media tak banyak seperti sekarang.

"Jangan kecam. Revolusi media sosial adalah zaman sekarang. Jadi, bagi saya sebagai orang yang lebih senior, saya menggalakkan sebab industri kita berkembang. Sekarang TV dah ada berapa saluran, kita ada filem, kita ada OTT, kita memerlukan ramai bakat-bakat baharu.

"Tapi, kalau tak diberi peluang kepada mereka, tak bolehlah begitu," katanya yang membawa watak sebagai mentor bernama Ahmad dalam filem Keluang Man.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:58 PM