TANYALAH Ustaz satukan 20 pasangan.
TANYALAH Ustaz satukan 20 pasangan.
Ramlah Zainal


SEMPENA ulang tahun ke-40, stesen TV3 membawakan program episod khas Tanyalah Ustaz: Akad 40 dengan menyatukan 20 pasangan asnaf, kurang berkemampuan dan mualaf dalam majlis pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia inisiatif TV3 membantu golongan kurang berkemampuan dalam melaksanakan perkahwinan dan memudahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, tetapi menghadapi pelbagai cabaran seperti kos perkahwinan yang tinggi.

Program khas ini membabitkan kerjasama antara TV3 dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk direalisasikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ini adalah kolaborasi amat baik antara Media Prima Berhad bersama Jawi dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri.

"Program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani," katanya pada sesi rakaman program Tanyalah Ustaz: Akad 40 di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail sebagai jurunikah.

Tidak ketinggalan, Penerbit yang juga Ketua Jabatan, Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ruzmi Kamaruddin dan Pengasas Efferty International Sdn Bhd, Dr Raihana Ismail.

Siaran khas Tanyalah Ustaz ditayangkan di TV3 pada 8 Jun ini dan strim secara langsung di Tonton. Ia juga diulang siar di TV3 dan TV9 jam 6.50 pagi pada 22 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:30 AM