Pelakon Zim Zim Ala Kazim, Anas Tahir. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon Zim Zim Ala Kazim, Anas Tahir. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyampai radio dan pelakon, Anas Tahir, 41, sudah lali dengan perbandingan mengaitkannya dengan abangnya yang juga penyanyi popular, Faizal Tahir, 46.

Bagaimanapun, Anas atau nama sebenarnya, Anas Mohd Tahir berkata, dia sedikit pun tidak terasa hati kerana masing-masing ada bakat serta cara tersendiri.

"Sampai sekarang masih dibandingkan. Biasa dah tu dan dah lali pun. Nak tak nak dah saya jawab. Kalau tak nak jawab pun tak apa. Kalau rasa rajin, jawab. Tak ada apa pun.

"Karekter kami pun sebenarnya berbeza. Kalau Faizal, dia lebih serius. Sebab itu, dia lebih naik sebagai penyanyi. Saya pula memang suka gelak, ramah macam ini," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas status adik Faizal membantunya menceburi lakonan, Anas berkata, itu tidak berlaku terutama mendapatkan peluang bekerja dengan sahabat baiknya, Mawi dalam beberapa filem sebelum ini.

"Masa mula-mula kenal Mawi dulu, dia memang tak tahu saya ini adik Faizal. Malah, kami pun jarang berborak tentang Faizal sebab Mawi tidak pernah bertanya. Jadi, saya diambil berlakon oleh Mawi bukanlah sebab adik Faizal.

"Hanya Mawi saja tahu saya boleh berlakon dan nampak bakat lakonan saya. Dia juga faham nak letak saya untuk watak apa di dalam filemnya sebab tahu saya tak suka dan susah nak bekerja dengan perempuan.

"Filem pertama saya berlakon dengan Mawi adalah Tiada Tajuk, diikuti Hantu Kuat Ketawa sehinggalah yang terbaru, Zim Zim Ala Kazim. Mawi tak ambil saya dan bagi peluang berlakon sebab kami kawan baik semata-mata. Saya diambil sebab bakat," katanya.

Menurut Anas, dia pun setakat ini menghormati keberanian Mawi yang yakin dengan bakat lakonannya dan sentiasa mahu memberikan peluang, walaupun sedar kurang dikenali berbanding abangnya, Faizal.

Filem Zim Zim Ala Kazim yang menjadikan penceramah bebas dan pendakwah, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim sebagai hero akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:19 PM