Bella Astillah ditemui media pada majlis rumah terbuka Universal Music Malaysia, hari ini. Foto Aziah Azmee
Bella Astillah ditemui media pada majlis rumah terbuka Universal Music Malaysia, hari ini. Foto Aziah Azmee
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mendedahkan dia tidak terkejut dengan pendedahan yang dibuat wanita Singapura, Sarah Yasmine yang mendakwa dirinya adalah kekasih kepada suaminya, Aliff Aziz.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, Sarah Yasmine juga antara wanita yang pernah menjalinkan hubungan dengan suaminya sebelum ini.

"Saya tidak terkejut sebab dia (Sarah) juga termasuk dalam senarai yang saya pernah cakapkan sebelum ini.

"Macam yang saya pernah kongsikan, saya pernah letak perakam suara dalam kereta, jadi saya sudah tahu siapa dia."katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Universal Music Malaysia di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Mengulas, mengenai Sarah Yasmine lagi, Bella berkata, dia juga sudah bertemu wanita terbabit kira-kira seminggu lalu.

"Dia (Sarah) yang menghubungi saya dulu menerusi WhatsApp untuk memberitahu perkara sebenar.

"Sebab itu jugalah saya dan Sarah saling mengikuti satu sama lain di akaun Instagram."katanya.

Menurut Bella, dia bagaimanapun rasa sangat bersyukur kerana pendedahan yang dibuat Sarah Yasmine di akaun Instagram wanita itu baru-baru ini, boleh dijadikan sebagai bukti yang cukup buatnya di mahkamah nanti.

"Inilah kemanisan orang yang bersabar dan kebenaran itu datang dengan sendirinya, dikala saya tengah 'busy' (sibuk) bekerja.

"Sebenarnya, saya sudah berada di fasa 'move on' kerana dah mula bekerja dan sibukkan diri dengan anak-anak.

"Mungkin Allah SWT nak permudahkan urusan saya dengan bukti untuk kes mahkamah menerusi pendedahan Sarah itu," katanya.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas Aliff didakwa ditangkap khalwat bersama Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.

Bella kemudiannya membuat keputusan untuk memfailkan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac.

Walau bagaimanapun sebutan pertama kes cerai itu terpaksa ditangguhkan kerana Aliff tidak hadir disebabkan terikat dengan penggambaran drama 'Terjerat'.

Bagaimanapun, Aliff enggan melafazkan cerai pada sebutan kes cerai itu dihadapan hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan mahkamah menetapkan 4 Jun nanti sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pada Selasa lalu, seorang wanita dikenali Sarah Yasmine mengakui 'kekasih gelap' kepada Aliff dan mendakwa mereka sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.

Menurut Sarah, dia berani melakukan pendedahan itu kepada umum selepas melihat Aliff teruk dikecam susulan kontroversi ditangkap berkhalwat dengan seorang aktres pada Mac lalu.

Lebih mengejutkan lagi, wanita itu mendakwa pelakon yang ditangkap khalwat bersama Aliff menghasut aktor berkenaan untuk menjatuhkan Bella.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:50 PM