Syifa bersama suami dan anak
Syifa bersama suami dan anak
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Alamak! Belum hamil anak kedua lagi."

Demikian kataS pempengaruh dan usahawan terkenal Syifa Melvin apabila dilaporkan sedang hamil anak kedua susulan video kejutan terhadap suami yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rashid tular di TikTok, semalam.

Syifa ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk menambah zuriat memandangkan kelahiran pertamanya itu bersalin secara pembedahan.

"Video yang dimuat naik itu adalah kejutan untuk suami ketika saya hamil anak sulung. Saya baru muat naik dia media sosial.

"Saya dan suami belum ada perancangan nak tambah zuriat lagi. Lagipun anak sulung baru berusia tujuh bulan dan saya bersalin secara pembedahan.

"Jadi saya perlu berehat sekurang-kurangnya dua tahun. Tapi kalau ada rezeki timang zuriat lagi saya tidak menolak.

"Apapun doakan yang terbaik untuk keluarga kecil kami," katanya.

Terdahulu perkongsian Syifa mengenai kejutan hamil anak pertama terhadap suaminya mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen apabila kedua-duanya menitiskan air mata sebaik mengetahui bakal menerima zuriat.

Menerusi video yang dimuat naik, Syifa meminta Safawi untuk menutup mata sebelum dia memberikan tiga kit ujian kehamilan kepada suaminya yang mendapati dirinya positif hamil.

Untuk rekod, Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 30, dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022 di Kuala Lumpur dalam satu majlis tertutup.

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Saif Sulaiman Muhammad Safawi pada 30 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 3:01 PM