ATU serlah bakat serta kemampuan majukan industri hiburan tempatan di Sabah dan Sarawak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ATU serlah bakat serta kemampuan majukan industri hiburan tempatan di Sabah dan Sarawak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph


Selepas bertapak kukuh dalam industri hiburan, pelakon dan pelawak, Atu Zero, 32, kini dalam misi berbakti kepada industri hiburan tempatan di Sabah dan Sarawak.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif yang berasal dari Kudat, Sabah percaya dia mampu menyumbang bakat serta kemampuannya berkarya bagi memajukan lagi industri seni di sana.

Malah, dia sebenarnya bangga dengan pembangunan industri seni yang semakin rancak di sana terutama dengan kemunculan TV Sarawak (TVS) yang makin menempa kejayaan besar di Bumi Kenyalang.

"Saya ada peluang menjayakan projek telefilem TVS sebelum Ramadan lalu. Peluang keemasan itu turut membuka jalan yang agak bagus untuk saya lebarkan sayap majukan industri seni di sana.

"Sekarang saya pun diberikan peluang mengendalikan saluran lawak di TVS yang bermula selepas Aidilfitri ini. Berapa lama tak pasti, tapi mungkin ambil masa sebulan," katanya.

Atu menyifatkan TVS adalah stesen TV yang sangat relevan sebagai pemacu industri seni di Sabah dan Sarawak ketika ini.

Dia sendiri kagum dengan perkembangan positif penerimaan stesen itu hingga arus perdana.

Jadi, dia sangat mengalu-alukan rakan artis dari Sabah dan Sarawak untuk mencuba nasib di sana. Ini kerana stesen TV itu mahu mengetengahkan bakat dan karya dalam kalangan artis dari sana.

"Sekarang TVS memanggil warga Sabah dan Sarawak untuk datang berkarya di tempat sendiri. Ini termasuk artis dari dua negeri itu yang sudah bertapak dalam industri hiburan arus perdana.

"Memang diberi peluang besar. Bersedia saja untuk ruang dibuka kepada kita berkarya dalam industri hiburan kita," katanya.

Atu mengakui itu antara tawaran yang sangat berharga selepas selesainya kontroversi kelewatan bayaran dengan stesen Awesome TV yang dihadapinya sebelum ini.

Atu berkata, banyak pengajaran diperoleh daripada insiden itu. Lebih utama, sebagai anak seni, dia menggunakan pengaruhnya untuk memperjuangkan haknya secara lantang tanpa kompromi.

Dia juga bersyukur kerana ada hikmahnya daripada perjuangannya itu. Ternyata rezekinya mencurah-curah selepas itu.

"Saya terkesan kerana banyak perkara seperti bayaran ansuran kereta dan rumah tertunggak disebabkan masalah itu. Tak sampai sebulan banyak tawaran masuk dari pelbagai stesen TV.

"Saya ada beberapa telefilem bersama Zero, mengacarakan program masak-masak di RTM dan TV3 serta terbabit filem Duyung 2 yang menjalani penggambaran Julai depan," katanya.

Atu berkata, dia teruja kerana diberi peluang membawa watak utama bersama seorang lagi anggota Zero, Melati dan penggambaran akan dijalankan di Semporna, Sabah.

"Saya dan Melati akan menjadi teraju utama. Kami dipilih kerana mahir di laut. Saya pun sebenarnya tidak sabar kembali berlakon dengan produksi filem," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 6:43 AM