SEARCH tampil dengan buah tangan terbaharu sempena Hari Raya, lagu berkisar muhasabah diri.
SEARCH tampil dengan buah tangan terbaharu sempena Hari Raya, lagu berkisar muhasabah diri.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas tiga dekad, band rock legenda, Search kini memecahkan tradisi apabila buat pertama kalinya, hadir dengan lagu sempena Aidilfitri berjudul Sujud Aidilfitri.

Bersifat muhasabah diri dan merenung kekhilafan, lagu ciptaan Jun dan Search ini mengirimkan mesej kemaafan kepada pendengar.

"Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana Hari Kemenangan itu sendiri.

"Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang dilakukan seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.

"Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.

"Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati," kata vokalis Search, Amy.

Bagi pemain bass, Nasir pula, kehadiran lagu ini juga boleh dijadikan dendangan untuk meraikan kehadiran Aidilfitri.

"Tidak dinafikan saban tahun akan ada lagu raya baharu dirakamkan tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah atau bersifat keraian.

"Jadi Search memilih nuansa yang lebih kental dari melodi dan liriknya sesuai dengan kematangan kami," katanya.

Penghasilan muzik video (MV) Sujud Aidilfitri ini juga turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang mana, menjadikan beberapa lokasi di negeri itu sebagai lokasi penggambaran.

Walaupun Sujud Aidilfitri dihasilkan bersempena Aidilfitri, namun, pendengar dan peminat Search masih akan dapat mendengar nuansa muzik rock yang sebati dengan nama kumpulan ini di samping lantunan vokal Amy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:20 AM