ZUBAIDAH Mukhtar berucap pada Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum di Balai Seni Negara hari ini. FOTO Bernama
ZUBAIDAH Mukhtar berucap pada Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum di Balai Seni Negara hari ini. FOTO Bernama
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Akhbar Harian Metro (HM) dan Berita Harian (BH) terbitan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) menerima penghargaan daripada Istana Budaya (IB) diatas kerjasama baik diberikan menerusi publisiti untuk aktiviti hiburan sepanjang 2023. 

Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar berkata, dua akhbar ini memberikan komitmen dan menyumbang kepada nilai publisiti media tertinggi buat panggung seni utama negara itu pada tahun lalu.

"Pemilihan agensi media berkenaan adalah berdasarkan apa yang dikeluarkan mengenai IB termasuk nilaian yang diterima hasil daripada publisiti diberikan.

"Tahun lalu, kami hanya berfokuskan kepada media cetak saja. Mungkin tahun berikutnya kami boleh fikirkan untuk berikan kepada media televisyen (TV) dan elektronik," katanya ditemui pada Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum di Balai Seni Negara, di sini, hari ini.

Turut mendapat penghargaan serupa daripada IB ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Ia disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff kepada wartawan Hiburan Harian Metro, Mohamad Ridzuan Abdul Rahman.

Manakala Berita Harian diwakili oleh Penolong Pengarang Berita Hiburan BH, Raja Nurfatimah Mawar Mohamed.

Dalam perkembangan berkaitan, Zubaidah berkata, IB berjaya memperoleh nilai publisiti media lebih RM750 juta iaitu nilai tertinggi berbanding tahun-tahun terdahulu.

"Kami ambil kira atas komitmen publisiti diberikan media berkenaan. Disebabkan itu IB berjaya memperoleh nilai publisiti media lebih RM750 juta, tahun lalu.

"Ia mengambil kira daripada keseluruhan penglibatan IB sepanjang 2023 termasuklah pementasan dan penganjuran program dengan kerjasama MOTAC serta agensi di bawah Kerajaan," katanya.

Menurutnya, IB juga akan terus berusaha merangka pelbagai program dalam mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia di samping meluncurkan buku rekaan kostum.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:05 PM