Hun Haqeem
Hun Haqeem
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Pelakon, Hun Haqeem terkejut dengan dakwaan bekas pihak pengurusannya, MIG dan penerbit, David Teo yang menuntut lebih RM600,000 sebagai ganti rugi berikutan tindakannya menamatkan kontrak lebih awal.

Hun, 26, berkata, dia sebelum ini memilih untuk tidak mengeluarkan kenyataan dan turut mempersoalkan kenapa perkara itu perlu dihebahkan kepada umum.

"Saya terkejut juga kerana kes ini dah berjalan sejak 2020. Semasa pusingan pertama dan keputusan memihak kepada saya, tiada apa-apa kenyataan pun yang saya buat sebab ia berbalik kepada matlamat saya untuk menjaga nama baik industri. 

"Bila tiba-tiba ia keluar, saya tertanya-tanya juga kenapa ia muncul semula," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Hun juga terbuka untuk berdamai dan menyelesaikan perkara itu secara profesional.

"Saya pun semasa di mahkamah, kalau David ada, saya salam. Saya okay saja dengan dia. Tak ada menyimpan dendam atau apa-apa, sebab dunia ini kecil saja. Saya tak mahu buat benda tak baik kepada orang kerana kita akan berjumpa semula. 

"Kita semua mesti nak selesaikan benda ini dengan baik. Apa saja perintah mahkamah, saya turutkan. Saya tak pernah mengelak atau apa," katanya. 

Tambah Hun, dia juga enggan memanjangkan perkara ini bagi memastikan kesihatan mentalnya terjaga. 

"Sebelum ini, saya pernah kongsikan mengenai kesihatan mental yang terganggu. Sewaktu PKP, kita tak boleh buat apa-apa dan pada masa sama, dapat saman. 

"Sedikit sebanyak rasa terkilan sebab saya cuma nak mengharumkan nama industri kerana ada banyak potensi. Kita ada banyak platform dan sebagainya. 

"Tapi, hujung-hujung, kita menikam sesama sendiri sedangkan boleh bantu naikkan satu sama lain," katanya.

Terdahulu, David mendedahkan mengenai kemenangannya atas kes saman terhadap Hun dan pelakon itu diperintahkan membayar sejumlah ganti rugi sebanyak RM613,950.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:36 PM