Kuala Lumpur: Pelakon Abby Abadi mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menuduhnya mengeluarkan kenyataan anak perempuannya, Marissa Danial Hakim terkena buatan orang.

Abby berkata, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang fitnah kepada orang ramai.

"Bila masa pula saya keluarkan kenyataan ini? Baca dekat mana?

"Banyak sangat ke pahala mereka ini asyik keluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah pada saya?," katanya.

Semalam menerusi satu temu bual bersama usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri, Abby menyifatkan Aslam tidak berkemampuan untuk menjalani kehidupan poligami.

Malah Abby juga terkejut dengan perubahan Marissa sehingga bukan seperti anak yang dikenali.

Abby berkongsi perkara itu selepas menjawab soalan diajukan pengikutnya yang membangkitkan soalan adakah Abby ada mengeluarkan kenyataan anaknya terkena buatan orang.

Dalam hantaran berbeza, Abby menerima pujian daripada orang ramai yang mengatakan dia masih mampu tersenyum biarpun berdepan ujian hebat ketika ini.

"Bila kebergantungan hanya pada Allah, Insya-Allah segalanya akan tenang-tenang saja. Doakan yang baik-baik ya," katanya.

Sejak tahun lalu, nama Marissa menjadi bualan ramai selepas dia dikatakan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga Aslam bersama isterinya, Misya Mazlan.

Pada awal Februari lalu, Marissa sekali lagi menggemparkan orang ramai apabila muncul dakwaan dia dan Aslam melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand tanpa pengetahuan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:43 PM