Hafiz dan isteri
Hafiz dan isteri
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad mengingatkan isterinya iaitu Syafiqah Aina supaya sentiasa memeriksa telefon bimbitnya agar tidak timbul isu kecurangan.

Hafiz berkata, tindakan itu dibuat bagi mendapat kepercayaan isterinya walaupun dia tidak melakukan hal seumpama itu.

"Saya selalu beritahu Aina, lelaki ini dekat mana-mana ujian dia adalah itu (digoda), tapi selagi abang bernafas, Insya-Allah akan jaga sebaiknya.

"Saya cakap juga dekat isteri, kalau saya diuji macam itu, tolong tarik saya. Tapi saya usaha, kita tak tahu takdir Allah macam mana, ujian itu kita tak tahu dan sekuat mana orang lelaki itu boleh tempuh ujian itu.

"Walaupun saya hanya ada Aina, tapi saya selalu cakap dekat dia jangan percaya dengan saya, sebaliknya kena selalu periksa telefon. Tambah pula, pekerja dan usahawan saya pun ramai wanita.

"Walaupun saya tak buat, tapi saya nak dia periksa telefon supaya sekurang-kurangnya ada perasaan takut," katanya.

Terdahulu, netizen menasihati Hafiz agar tidak menduakan isterinya selepas beberapa kontroversi pempengaruh mengaku sudah berkahwin dua.

Dalam pada itu, Hafiz menjawab video tular Anugerah AINAA Super Seven sempena ulang tahun AINAA ke-7 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini yang dibuat secara besar-besaran.

Menurut Hafiz, dia terpanggil untuk menganjurkan majlis penganugerahan berprestij selepas dia dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Gempak Most Wanted 2022 tahun lalu.

"Alhamdulillah, kami sangat gembira sebab saya tak sangka kita boleh adakan satu anugerah dan berikan suasana itu kepada orang-orang susah tapi rajin berusaha.

"Bagi saya, mungkin mereka ini mampu tengok dekat TV anugerah yang berprestij, suasana macam ini tapi untuk mereka rasai itu mungkin hanya angan-angan.

"Tapi Alhamdulillah, saya wujudkan anugerah ini bagi orang-orang ini rasa. Saya rancangan perkara ini ketika waktu saya menang dua anugerah influencer," katanya.

Dalam masa sama, Hafiz mendedahkan, kos keseluruhan acara itu dianggarkan menelan belanja jutaan ringgit.

Antara kategori yang dipertandingkan pada malam itu adalah kategori Usahawan AINAA BBNU, AINAA Best Creator Award, AINAA Super Inspirational Award dan Usahawan AINAA Paling Popular.  

Fasa undian bermula dari 18 Januari dan berakhir pada 17 Februari lalu.  

Penghargaan istimewa buat semua usahawan AINAA yang telah berjaya mencapai hasil jualan tinggi pada tahun 2023 turut berlangsung pada malam itu.  

Antara hadiah yang dimenangi oleh usahawan-usahawan ini adalah satu pakej haji, dua buah kereta Perodua Axia, 21 pakej umrah, 3 pakej percutian Maldives serta lebih dari 10 buah iPhone 15 Pro.  

Malam kemuncak AINAA Super Seven Awards berjaya menghimpunkan lebih dari 1500 orang usahawan AINAA selain persembahan istimewa dari penyanyi popular seperti Ernie Zakri, ratu rock Ella serta band kegilaan ramai Bunkface.  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:37 PM