DHARMA dan Ahmad Farhan (kanan) pada Program Ziarah Madani di rumahnya di Wangsa Maju.
DHARMA dan Ahmad Farhan (kanan) pada Program Ziarah Madani di rumahnya di Wangsa Maju.
Norhayati Nordin


WATAK Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja pada 1980-an cukup melonjakkan nama pelakon Dharma Harun Al-Rashid, 68, yang begitu diminati dan diingati ramai peminat hingga kini.

Ditambah, bergandingan pula dengan Noorkumalasari sebagai Cikgu Shahrina membuatkan kebanyakan peminat waktu itu beranggapan mereka sepadan kerana masing-masing bertubuh tinggi lampai.

Lebih empat dekad filem itu berlalu, Dharma kini dimamah usia dan berhadapan masalah kesihatan apabila diserang strok atau angin ahmar pada 2019 menyebabkan dia tidak lagi boleh aktif di persada hiburan.

Namun, semangat bapa dua anak ini untuk terus menghiburkan peminat menerusi lakonannya tidak pudar dan kekal tersemat di hati supaya peluang diinginkan itu datang juga suatu hari nanti.

"Seingat saya, kali terakhir berlakon lebih 10 tahun lalu dan perasaan rindu untuk berada di set penggambaran macam dulu-dulu tak pernah hilang. Saya rindu nak jumpa rakan pelakon lain dan bekerja bersama mereka.

"Malah sampai sekarang pengalaman berlakon dengan Allahyarham Hamid Gurkha dalam filem Sikit Punya Gila masih saya ingat.

"Kami berkawan baik dan set 'shooting' itu memang ceria sebab semua pelakon satu kepala," kata Dharma ketika ditemui media pada kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi sempena Program Ziarah Madani di rumahnya di Wangsa Maju.

Sudah tidak boleh bekerja dan berhadapan masalah kewangan, Dharma terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap insan seni veteran sepertinya yang mungkin dilihat sudah lama menghilang diri.

KESIHATAN Dharma merosot selepas alami serangan strok pada 2019.
KESIHATAN Dharma merosot selepas alami serangan strok pada 2019.

"Saya masih ingin aktif berlakon dan berharap mendapat watak sesuai. Cuma masalahnya tahap kesihatan saya yang kurang mengizinkan dan terbatas kerana mengalami kesukaran nak ingat apa-apa, termasuk menghidap asma (semput) juga.

"Walaupun kadang-kadang saya tahu sesuatu perkara itu, tapi saya susah nak bercakap. Jadi, saya hanya patuh mendengar arahan apa yang disuruh buat saja terutama daripada doktor berkaitan urusan kesihatan.

"Selain itu, hidup saya sekarang ini turut bergantung pada ubat-ubatan, termasuk perlu membuat latihan bagi menguatkan semula ingatan sebagaimana disarankan doktor," katanya.

Menurut Dharma, bagi membantu pemulihan ingatannya itu doktor menyarankan dia banyak menonton filem lama semula untuk belajar mengingat dialog untuk memudahkan berlakon.

Tinggal bersama dua anak, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, ia juga dianggap Dharma sangat membantu dirinya dalam urusan penjagaan kesihatan serta pemakanan harian yang sesuai.

Pada 2012, Dharma tampil sebagai pelakon, penulis lirik, pengarah dan penerbit filem Adik Manja Returns yang membariskan ramai pelakon hebat tanah air dengan kisah hampir sama seperti naskhah dibintanginya pada 1980-an itu.

Antara barisan pelakon Adik Manja Returns ialah Rozita Che Wan, Faezah Elai, Che Puan Juliana Evans, Jihan Muse, Adeline Tsen, Rafidah Ibrahim, Maria Tunku Sabri dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:30 AM