ACAP S dan isteri.
ACAP S dan isteri.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pempengaruh Acap S, 29, menangis terkenangkan ibu apabila tewas kepada Ryan Bakery untuk kategori Pempengaruh Komedi Kebangsaan Terbaik di Anugerah Viral KNKV 2024, semalam.

Acap S atau nama sebenarnya Mohammad Asraf Jaafar berkata kemenangan itu amat diharapkannya sebagai hadiah kepada keluarga terutama ibunya Jamilah Ahmad yang berdepan masalah kesihatan.

"Malam itu ibu melihat saya di TV. Awal-awal lagi dia mengharapkan saya membawa pulang trofi tapi berakhir hampa. Saya menangis mengenangkan perkara itu memandangkan ahli keluarga lain turut mengharapkan perkara sama.

"Lagi satu saya terkilan kerana tak dapat menghadiahkan kemenangan itu kepada isteri saya, Nur Adriana Syazwani Asrul Affendi dan peminat yang mengundi saya sejak awal lagi. Mereka begitu gigih mengundi dan saya harap semuanya bertenang, kita cuba lagi pada lain masa," katanya.

Dalam pada merasa ralat, anak jati Gerik, Perak itu bagaimanapun tumpang gembira kerana trofi terbabit dimenangi Ryan yang juga sahabat baiknya sendiri.

"Saya gembira apabila nama Ryan diumumkan sebagai pemenang tapi dalam masa yang sama bersedih dengan kekalahan sendiri. Ini adalah penampilan pertama saya ke dalam industri hiburan tanah air.

"Memang saya datang dengan harapan yang sangat tinggi untuk menang. Tak mengapa, ini pengalaman pertama saya bersama dengan barisan 'influencer' berpengaruh tanah air, itu sudah cukup menggembirakan," katanya.

Selain Acap S dan Ryan, turut tercalon dalam kategori berkenaan terdiri daripada We Xiang Tan, Ikhmal Nour dan Imran Bard.

Acap S terlebih dahulu dikenali menerusi aplikasi Bigo Live sebelum beralih sebagai selebriti TikTok.

Dia juga pernah terbabit beberapa buah drama dan filem tempatan termasuklah Muliakah Aku, Keluarga Kamil, Siti Supir dan Jiwa 18.

Jelasnya, dia akan mempertimbangkan segala tawaran berlakon memandangkan ketika ini dia masih tinggal di Gerik. Dia bahagia menjaga ibunya.

"Tiada perkara paling membahagiakan selain dapat menjaga ibu. Sejak arwah ayah meninggalkan kami hampir satu dekad lalu, sayalah yang menjaganya. Segala keperluan disiapkan untuk ibu sebelum saya keluar bekerja.

"Kalau ada tawaran berlakon memang saya mahu kembali aktif memandangkan itu memang sudah menjadi minat sejak dahulu. Kalau boleh memang saya mahukan watak kelakar kerana itu memang minat sejak dahulu.

"Tapi sekarang pun saya gembira dapat menghiburkan pengikut setiap kali live di TikTok, korang jangan lupa follow saya," kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:22 PM