MAT Sentul bersama anugerah diberikan MMU.
MAT Sentul bersama anugerah diberikan MMU.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Ayah seorang legenda dalam bidang seni sinematik dan industri kreatif tanah air kerana bakatnya yang hebat membuat teknik imej janaan komputer (CGI) secara manual dulu," kata anak kepada pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentul iaitu Roslee Rashid, 62.

Menurut Roslee, bapanya itu seorang yang suka melukis serta hasil kerja seni di dalam sinematik itu adalah berdasarkan lukisan-lukisan dibuatnya dan terima kasih kepada Universiti Multimedia (MMU) di atas anugerah itu.

"Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada MMU itu adalah pengiktirafan tertinggi yang pernah diterima oleh ayah saya menerusi bakat seninya. Syukur Alhamdulillah, ayah saya memang layak untuk (terima) anugerah itu.

"Ayah pun gembira terimanya sebagai menghargai sumbangan besar pernah dicurahkan dalam industri seni tanah air ketika muda dulu kerana waktu itu mana ada peralatan canggih untuk buat CGI seperti sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga kesihatan bapanya, Roslee berkata, seniman berkaliber negara itu berada dalam keadaan baik-baik saja, namun pergerakannya agak terbatas akibat faktor usia yang semakin lanjut.

"Keadaan ayah saya okay saja, baik dan sihat. Saya sentiasa menjaga dia (Mat Sentol) sebaik mungkin dengan memastikan rutin pemakanan harian yang sihat dijaga rapi untuk selalu beri tenaga kepadanya.

"Saya juga macam selalu akan membawa ayah bersiar-siar di waktu petang bagi menggembirakannya dan berusaha memenuhi apa saja keinginannya kerana saya juga tidak mahu dia hanya terbaring di rumah,"' katanya.

ROSLEE dan bapanya, Mat Sentul.
ROSLEE dan bapanya, Mat Sentul.

Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abd Rashid Yahaya, 91, ketika ditemui media pada Disember tahun lalu, berkata, dia terharu atas penghargaan diberikan MMU itu kerana masih mengingati jasanya sebagai anak seni.

"Zaman dulu buat filem karya seni sinematik, semua buat sendiri. Saya suka mencuba, jadi idea pun datang secara semula jadi.

"Kepada anak-anak muda, kalau nak buat apa-apa, buat sajalah asalkan ia bukan perkara yang salah atau negatif," katanya.

Terdahulu, Mat Sentul menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia yang diadakan MMU itu pada Majlis Apresiasi Penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia 2023 di Cyberjaya, hujung tahun lalu.

Cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an, Mat Sentul pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Anak jati Johor ini juga pernah aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan di televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:07 PM