Naim Daniel
Naim Daniel
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Naim Daniel menjelaskan ciapan yang dimuat naik menerusi aplikasi X terhadap individu yang menggayakan jubah sebagai 'topeng' mengaburi peribadi sebenar adalah sekadar luahan peribadinya.

Naim menafikan dia anti golongan agamawan sebaliknya segelintir pihak yang menjadikan agama untuk melindungi kejahilan diri.

"Mengikut pendapat peribadi saya, tiga perkara yang paling cepat menarik perhatian orang adalah melalui agama, air mata dan harta. Jadi, apabila orang salah gunakan imej berjubah untuk mengaburi mata orang yang memandang dan menyangka apa yang dibuat adalah betul, saya rasakan perkara itu sangat tidak adil buat semua.

"Situasi itu memberi perasaan kurang senang kepada pihak yang ikhlas dalam perbuatan mereka. Hari ini, kita selalu nampak mereka yang ada penampilan seperti itu sering dianggap betul, walaupun hakikatnya perbuatan mereka itu salah.

"Bukan apa, secara tak langsung ia memberi tanggapan buruk kepada mereka yang berjubah. Jika saya boleh ada persepsi seperti itu, tidak mustahil ada ramai lagi orang berkongsi perasaan serupa.

"Bukan semua salah dan silap kita boleh ditutup dengan penampilan suci kita. Janganlah cemar imej murni itu dengan menjadi penunggang agam. Itu adalah tidak bagus sama sekali ," katanya.

Enggan memukul rata setiap individu yang berpenampilan sedemikian, Naim berpendapat golongan bijak agama perlu mempunyai keperibadian bersesuaian dengan imej.

"Saya tidak pukul rata dengan menganggap semua yang berjubah sama SAJA sikap mereka. Masih ada lagi yang keperibadiannya selari dengan imej ditampilkan. Contohnya, Uztaz Don Daniyal yang saya fikir personalitinya menepati gaya pemakaiannya.

"Lagipun, apabila kita berjubah tanggungjawabnya lebih berat. Apa SAJA yang dibuat, pasti akan dipersoal. Justeru, jika kita hendak bawa imej itu kenalah sentiasa berhati-hati supaya tidak disalah anggap yang akhirnya memberi kesan yang lebih buruk lagi," katanya.

Sebelum ini, ciapan Naim yang mendakwa pemakaian jubah adalah cara paling mudah untuk 'membutakan' mata orang ramai menarik perhatian netizen hingga ada yang menganggap pelakon drama Rombongan Cik Kiah Ke AJL itu anti golongan agamawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 5:23 PM