INDIVIDU dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ di Mahkamah Seksyen, 26 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
INDIVIDU dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ di Mahkamah Seksyen, 26 Januari lalu. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pemilik saluran YouTube yang menjemput individu dikenali sebagai 'Hot Daddy' menegaskan pihak mereka tidak menyokong mana-mana pihak yang melakukan tidak bermoral.

Individu itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 26 Januari lalu kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan.

Penjelasan itu dikeluarkan menerusi Instagram mereka selepas kecoh di media sosial pertikaian oleh netizen apabila mereka menjemput individu terbabit untuk ditemubual di saluran YouTube itu. "Penyebaran gambar kami bersama Hot Daddy mendapat perhatian netizen di Internet serta segala perspektif persoalan positif dan negatif disuarakan.

"Untuk pengetahuan semua, kami tidak pernah menyokong mana-mana pihak yang melakukan perkara yang tidak bermoral. Malah, kami melawan dan mencegah perkara-perkara itu," katanya.

Menurutnya, berlaku perdebatan dalam podcast yang fokusnya memaparkan realiti kehidupan itu.

"Di dalam podcast itu, beberapa perkara berlaku. Perdebatan yang hebat berlaku antara kami dan tetamu. Ia adalah satu platform 'reality showcase.'

"Maka segala video yang dikeluarkan berdasarkan realiti kehidupan. Pahit manis memang kena telan. Semoga kita semua sentiasa dirahmati," tulisnya.

Mereka bagaimanapun menutup ruangan komen hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 12:05 PM