Syafiq dan Mimi
Syafiq dan Mimi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengurus peribadi kepada pelakon Syafiq Kyle dan Mimi Lana iaitu Iman Tang memaklumkan dia tidak tahu mengenai status terkini pasangan selebriti itu susulan dakwaan mereka sudah kembali bersama.

Iman bagaimanapun menjelaskan, Syafiq dan Mimi masih berkawan baik walaupun majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung di Pahang pada 18 Ogos tahun lalu dibatalkan.

"Meskipun mereka tidak jadi berkahwin, tapi tidak bermakna mereka bermusuh atau bergaduh. Saya boleh sahkan perkara ini kerana waktu kejadian (pembatalan dibuat) saya ada bersama mereka.

"Memang tiada masalah dan sehingga hari ini mereka masih berkawan. Malah hari ini pun mereka berdua baharu saja selesai menjalani sesi fotografi untuk mempromosikan pakaian raya untuk satu jenama tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Iman, dia tidak melarang sekiranya artis naungannya itu kembali menjalin hubungan cinta, namun berharap mereka fokus dengan kerjaya terlebih dahulu.

"Ya sudah tentu saya gembira dan restu, lagipun ia untuk kebaikan dan mendirikan masjid adalah perkara yang baik dalam Islam.

"Saya selalu berjumpa dengan mereka, tapi tak pernah bertanya mengenai hala tuju hubungan mereka dengan lebih mendalam.

"Bagi saya, biar mereka fokus dengan kerja dulu. Mungkin dalam kesibukan bekerja itu ada bibit cinta dan perasaan untuk kembali bersama," katanya.

Dalam masa sama, Iman berharap pasangan itu dapat memaklumkan hubungan mereka lebih awal sekiranya ada berita baik yang mahu dikongsikan.

"Sekiranya mereka kembali bersama, saya harap mereka beritahu lebih awal sebab sebelum ini saya hanya sebagai tetamu. Saya tidak tahu apa-apa," katanya.

Mimi dan Syafiq sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun jemputan majlis itu dibatalkan pada 11 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 5:41 PM