Pelakon, Hariz Hamdan. Foto Amirudin Sahib
Pelakon, Hariz Hamdan. Foto Amirudin Sahib
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Hariz Hamdan, 22, berdepan fobia terhadap darah selepas melalui pengalaman kemalangan ketika zaman kanak-kanak.

Kemalangan itu juga meninggalkan kesan bukan sahaja kepada mental dan emosinya sehingga trauma, tetapi juga parut di bahagian tangan.

"Saya mula fobia dengan darah selepas berlaku satu insiden kemalangan ketika saya berusia empat tahun.

"Saya tak ingat sangat, tapi yang saya ingat, tangan saya bergesel dengan tayar kenderaan dan berparut sampai sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Hariz bagaimanapun bersyukur kerana fobia itu kini semakin terkawal seiring bertambahnya usia.

"Alhamdulillah, sekarang rasa fobia itu semakin terkawal. Kalau tidak, memang saya akan mula fobia bila nampak darah," katanya.

Dia juga mencabar kemampuan dan fobianya tatkala melakonkan satu babak pemujaan menggunakan bangkai ayam dalam filem terbaru, Banglo Seksyen 12.

"Saya jarang menonton filem seram sebab saya penakut. Jadi, boleh dikatakan, saya tak banyak rujukan. Memang mencabar untuk saya jayakan filem ini.

"Gemuruh memang ada terutamanya sewaktu menjayakan babak pemujaan menggunakan ayam mati. Ia memang ayam yang betul dan darah pun memang darah betul.

"Yang lebih mencabar adalah, saya memang ada fobia terhadap darah. Jadi, ambil masa juga untuk saya sempurnakan babak itu. Saya cuba yakinkan diri bahawa saya mampu untuk buat," katanya.

Selain Hariz, filem itu turut dibintangi Intan Ladyana yang juga menggalas tugas sebagai pengarah dan penerbit, Aniq Suhair dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:40 PM