Tengku Azlan (tiga kanan) bersama Kamil Othman dan CEO Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan) melihat replika trofi KLIFAA. Foto Hazreen Mohamad
Tengku Azlan (tiga kanan) bersama Kamil Othman dan CEO Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan) melihat replika trofi KLIFAA. Foto Hazreen Mohamad
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Penganjuran Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA) bakal disertai lebih 50 buah negara pada 7 hingga 11 Ogos depan di Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) walaupun julung kali diadakan.

Pengerusi KLIFAA, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ditemui berkata, tiba masanya Malaysia tampil menjadi tuan rumah bagi acara majlis anugerah berprestij industri hiburan yang mengiktiraf karya filem terbaik di peringkat antarabangsa.

"Visi dan matlamat penganjuran KLIFAA untuk edisi pertama ini adalah diharapkan dapat menjadi bukti kehebatan seni pembikinan filem terbaik dengan bahasa penceritaan sejagat.

"Selain akan menyerlahkan komitmen penganjuran festival dalam mempromosikan kepelbagaian, kecemerlangan artistik serta keterangkuman industri produksi filem dan televisyen global.

"Justeru, saya amat berharap pihak kerajaan menerusi kementerian berkaitan dapat memberi kerjasama dan menyokong usaha murni yang dilakukan ini untuk memartabatkan lagi bidang perfileman tanah air ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang media sempena penganjuran KLIFAA di Panggung 1, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) hari ini.

Azlan berkata, KLIFAA turut berhasrat agar dapat diteruskan menjadi lebih daripada satu majlis anugerah yang mana bertujuan memastikan ia mampu diiktiraf sebagai platform terbaik bagi pertukaran budaya.

"Malah, antara program komprehensif yang dirancang pada festival ini ialah tayangan filem, termasuk perbincangan panel, kelas pakar, jaringan perniagaan dan majlis anugerah berprestij.

"Semua aktiviti diatur di KLIFAA nanti menjurus ke arah menyemarakkan semangat bercerita dan pembikinan filem. Termasuk, pentauliahan untuk acara monumental ini tersedia bagi pembuat filem, artis, penerbit, pengamal industri, wartawan, jurugambar, kru radio dan TV.

"Bahkan, paling utama sudah tentu buat pelajar filem serta peminat yang berminat untuk membabitkan diri dalam meraikan kecemerlangan sinematik ini yang bertemakan 'Inspiring Brilliance, Igniting Passion' (Kecemerlangan inspirasi menyemarakkan semangat)," katanya menyifatkan KLIFAA sebagai penyatu budaya, dalam mencetus inspirasi pemikiran kreatif pada skala global.

Menurutnya, KLIFAA juga akan memberi tumpuan kepada meraikan bakat baharu, memupuk kreativiti dan mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam filem cereka, drama TV, dokumentari, filem pendek dan animasi.

Difahamkan, kira-kira 21 buah negara yang berminat sudah bersetuju menyertai KLIFAA yang mana turut mendapat sokongan positif daripada pihak kedutaan negara masing-masing untuk menghantar penyertaan.

Sehubungan itu, bagi pembikin filem dan artis berbakat di seluruh dunia yang berminat boleh mengambil bahagian dengan menghantar karya mereka untuk penilaian mengikut kategori dipertandingkan dari 1 Mac hingga 31 Mei depan dengan melayari laman sesawang KLIFAA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:38 PM