ANTARA babak dalam Hawt Fellas.
ANTARA babak dalam Hawt Fellas.
Lydia Saiful


DRAMA Hawt Fellas yang ditayangkan di slot Lestary TV3 berkisar suka duka sekumpulan remaja yang berhadapan dengan dilema dan cabaran hidup.

Drama bersiri 13 episod yang disiarkan sejak 4 Januari lalu, setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam diarahkan oleh Eoon Shuhaini dan skrip dihasilkan Lee Chonz.

Penerbit Country & Universal Sdn Bhd, Jalena Rejab berkata, naskhah remaja ini berkisar dari

seorang lawan menjadi 'fellas' ataupun sahabat dengan menampilkan lima sahabat dari latar berbeza.

"Semua remaja terbabit mempunyai karakter dan masalah berbeza, namun mereka bersatu atas nama Hawt Fellas untuk berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan mereka.

"Kami berharap Hawt Fellas dapat berkongsi mesej positif dan memberi inspirasi kepada penonton terutama golongan muda supaya jangan mudah putus asa ketika berhadapan cabaran hidup." katanya dalam satu kenyataan.

Hawt Fellas mengisahkan mengenai Lee lakonan Nabil Aqil, Napron (Idan Aedan), Mat Don (Atiq Azman) dan Floral (Raden Zaharatul) masing-masing mempunyai impian yang ingin dicapai selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka belajar di sekolah menengah yang sama. Lee dan Napron belajar dalam aliran sains manakala Mat Don dan Flora di aliran sastera.

Lee adalah pelajar cemerlang dan menjadi harapan sekolah dan keluarga, tetapi dia tertekan dengan sikap keluarga yang terlalu meletakkan harapan tinggi tanpa memikirkan minat dan kehendaknya.

Lee minat seni, tetapi dia terpaksa masuk aliran sains atas desakan keluarga yang ingin melihatnya melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan. Lee mahir bermain gitar dan melukis, dia menjadikan muzik dan melukis sebagai tempat menenangkan fikiran.

NABIL Aqil bawa watak utama dalam Hawt Fellas.
NABIL Aqil bawa watak utama dalam Hawt Fellas.

Napron memilih aliran sains untuk membuktikan yang dia bijak dan hebat. Dia menjadi mangsa ayahnya, seorang penagih dadah. Napron sering dituduh kerana imej 'rock underground'.

Sementara Mat Don pula anak yatim piatu membesar di bawah jagaan bapa saudara. Mat Don mengalami kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) tanpa dia sedar.

Flora pula nampak agak nakal kerana mempunyai masalah keluarga. Flora menganggap Lee sebagai

'crush' dan sering meminta bantuan daripada Lee untuk menghasilkan lukisan

yang baik di luar waktu sekolah.

Napron yang menaruh perasaan dengan Flora rasa cemburu dan sering mencari gaduh dengan Lee.

Selepas pengumuman keputusan SPM, Lee menghilangkan diri kerana kecundang dalam SPM.

Floral dan Mat Don menganggap Lee melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti yang diinginkan ibu bapanya. Lee malu dan terpaksa berbohong. Dalam diam, dia mengatur rancangan untuk mengambil SPM ulangan.

Di tempat lain, ada seorang pelajar lepasan SPM yang juga inginkan kebebasan hidup. Indah Tisya Ong tidak ingin hidupnya dikongkong keluarga.

Dia menolak tawaran kemasukan universiti pendidikan kerana tidak mahu menjadi cikgu agama seperti yang dikehendaki ibu bapanya. Sebaliknya, minat Indah lebih cenderung kepada berlakon.

Apa yang berlaku seterusnya? Mampukah Lee, Napron, Mat Don, Flora dan Indah mencapai cita-cita masing-masing? Bagaimana mereka berhadapan dugaan dan pilihan hidup yang perlu dibuat? Adakah isi hati mereka didengari dan difahami oleh keluarga mereka?

Saksikan Hawt Fellas dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 6:30 AM