SHARUL Aimy.
SHARUL Aimy.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Baru meluahkan hasrat untuk mengintai bidang lakonan, atlet gimnastik negara, Sharul Aimy, 22, terkejut apabila tiba-tiba dilabel sebagai sombong dan memilih bulu.

Sharul berkata, dia masih malu dan cuba menyesuaikan diri apabila dirinya mula menjadi tumpuan.

"Dengan rendah diri, saya memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa hati dengan tindakan itu dan saya akan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

"Bagi yang mengenali, mereka tahu saya masih tebal dengan sikap malu. Tak mengapa, saya akan cuba perbaiki diri demi semua.

"Apa pun, saya berterima kasih atas teguran dan cuba menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, atlet yang pernah muncul sebagai cameo dalam drama Journal Sara-Haeyo itu tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara dituduh sebagai sombong.

Menerusi komen yang ditinggalkan seorang pengguna media sosial di Instagram sebuah portal sukan, individu itu meminta supaya Sharul tidak memilih bulu dan melayani peminatnya sama rata.

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sebelum ini mencipta sensasi apabila berjaya menamatkan penantian 17 tahun skuad gimnastik untuk memenangi pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir dilakukan Ng Shu Wai yang merangkul perak di Doha, Qatar pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 4:15 PM