Pelakon, Meerqeen. Foto Hazreen Mohamad
Pelakon, Meerqeen. Foto Hazreen Mohamad
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Meerqeen menafikan jolokan 'playboy' yang dilemparkan terhadap dirinya gara-gara sering terpalit dengan gandingan dalam naskhah lakonannya.

Meerqeen atau nama lengkapnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu hanya mahu memberikan tumpuan dalam kariernya tanpa perlu membabitkan isu peribadi.

"Saya tahu batas dalam pergaulan dan perlu menghormati persahabatan saya dengan rakan artis lain. Tidak mungkin setiap kali digandingkan dalam sesi fotografi atau memenuhi undangan sesuatu majlis terus kami dicop mempunyai hubungan istimewa.

"Namun saya maklum, sebagai pelakon kita tidak dapat lari daripada mulut orang. Apa yang penting adalah saya bersikap profesional dan melaksanakan apa yang sudah tertulis dalam kontrak.

"Jadi peranan saya sebagai pelakon, saya tidak kisah kerana saya tahu saya bukan begitu. Apa pun, saya akui bukan murah untuk menutup mulut daripada berkata-kata. Mereka ada persepsi mereka sendiri dalam apa jua situasi," katanya.

Dalam masa sama, Meerqeen mengaku lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri sejak gosip berkenaan hangat diperkatakan.

"Saya tak layan apa-apa yang keluar di media sosial sehingga boleh menjejaskan kerjaya saya. Kenapa saya perlu menjawab untuk puaskan hati semua orang.

"Lebih baik saya berdiam. Cukuplah keluarga tahu apa yang saya buat. Semakin lama kita dalam industri pasti akan ada orang yang tidak suka dan mahu menjatuhkan," katanya.

Gelaran 'playboy' diberikan kepadanya sejak sering dihimpit gosip dengan wanita. Selepas gosip bersama Anna Jobling, timbul gosip bercinta dengan Ameera Khan dan kemudian dakwaan bercium dengan Mimi Lana.

Malah, Meerqeen juga dikatakan cuba mendekati pelakon dari Indonesia, Caitlin Halderman selepas tular dalam aplikasi Tik Tok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:30 PM