Meerqeen.
Meerqeen.
Najiy Jefri


Putrajaya: Pelakon popular, Meerqeen menafikan dakwaan dia bercium dengan pelakon, Mimi Lana di sebuah kelab malam seperti yang tular, baru-baru ini.

Meerqen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, berkata, dia tidak akan melakukan perkara seumpama itu bersama Mimi yang dianggap sebagai rakan selebriti.

"Saya tak layan apa-apa yang keluar di media sosial sehingga boleh menjejaskan kerjaya saya. Ketika kontroversi itu timbul saya tiada di Kuala Lumpur pun kerana terbabit dengan penggambaran. Malah saya terkejut apabila terbaca mengenai gosip itu. Ia tidak berlaku langsung.

"Bodohlah saya jika saya melakukan hal sedemikian. Sebab itu saya tak ambil peduli langsung mengenai perkara itu," katanya.

Meerqeen berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Klepet terbitan Respected Citizen Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Menurut Meerqeen, dia sudah berhubung dengan Syafiq bagi menjelaskan keadaan sebenar.

"Syafiq adalah rakan saya dan kami berada dalam bidang yang sama. Saya sudah bercakap dengan Syafiq bagi menjelaskan perkara ini. Kami sudah 'man to man talk'," katanya.

Dalam masa sama, Meerqeen mengaku lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri sejak gosip itu timbul.

"Semakin lama kita dalam industrri pasti akan ada orang yang tidak suka dan mahu menjatuhkan.

"Kenapa saya perlu jawab untuk puaskan hati semua orang. Lebih baik saya diam. Cukuplah keluarga tahu apa yang saya buat," katanya.

Terdahulu, timbul dakwaan seorang pelakon baru meningkat naik bercium di kelab malam dengan seorang pelakon popular yang berstatus tunangan orang.

Netizen membuat spekulasi dan mengaitkan nama Meerqeen dan Mimi Lana kerana mereka sedang bergandingan dalam drama bersiri Headliners.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 6:03 PM