RICH Gimbang. FOTO Arkib NSTP
RICH Gimbang. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Estranged, Rich Gimbang mendedahkan pendiriannya apabila tidak meneruskan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 lalu. 

Rich atau nama sebenarnya, Richael Lawrence Gimbang, 41, berkata, dia memang pernah membuat pengumuman mahu bertanding sebagai calon wakil rakyat di daerah kelahirannya, Tambunan, Sabah ketika itu. 

"Ada wartawan yang menulis berkenaan keinginan saya ini. Waktu itu mungkin kerana usaha saya dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang mendalam. 

"Terasa juga ingin membantu masyarakat kerana kami (Estranged) nampak banyak orang-orang susah di Sabah terutama sekali di kampung-kampung. 

"Mungkin kerana itu saya ada niat nak jadi wakil rakyat. Tapi bila fikir balik, belum masanya lagi untuk saya ke arah itu," katanya ditemui pada sidang media Konsert Apa Khabar Teman? baru-baru ini. 

Menurutnya dia dan anggota Estranged 

iaitu Hanafi (Nor Hanafi) dan Din (Solihuddin Hormat) memang terbabit dengan kerja amal di sana. 

"Kami tak terbabit dengan mana-mana parti politik di sana. Malah yang banyak menyumbang juga adalah peminat Estranged semasa kami buat konsert secara dalam talian waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Mereka sangat menyokong usaha kami ini. Estranged bantu penduduk kampung di kawasan pendalaman yang sentiasa berhadapan dengan masalah air dan elektrik. 

"Setakat ini kami dah berjaya bekalkan generator bagi tenaga elektrik dan air untuk empat kampung pendalaman  di sana," katanya. 

Estranged mula terbabit dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sabah sejak 2016. Mereka turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan di sana. 

Terdahulu, Rich dilihat memuat naik poster di Instagram miliknya sebagai petanda dia sudah memulakan kempen untuk menjadi calon wakil rakyat di negeri Sabah sekitar tiga tahun lalu. 

Dia turut menjelaskan tidak akan meninggalkan Estranged sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat dan ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa kedua-dua bidang ini boleh berjalan seiringan dan sejalan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 12:14 PM