Norlia Ghani
Norlia Ghani
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Saya terkejut bila dapat tahu masalah rumah tangga Rusdi dan Sharon dari akaun TikTok kerana dia (Rusdi) tidak pernah berkongsi hal rumah tangganya dengan saya dari dulu," kata artis veteran Norlia Ghani, 76.

Norlia berkata demikian ketika diminta mengulas masalah rumah tangga anaknya, pelakon dan pengarah Rusdi Ramli dan komposer Sharon Paul yang didakwa sudah tidak sehaluan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Norlia, Rusdi juga tidak pernah bercerita atau mengadu hal rumah tangga dengannya sejak dulu.

"Rusdi memang jenis yang tidak suka kongsi hal rumah tangganya dan dia lebih suka selesaikan semuanya sendiri kerana dia tidak mahu saya berasa risau.

"Cuma Sharon yang pernah mengadu dengan saya, Rusdi sudah lama tiada 'job' sebelum ini dan saya tahu ia berkaitan dengan masalah wang ringgit dan perbelanjaan dalam rumah tangga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas rumah tangga Rusdi lagi, kata Norlia, dia berharap mereka dapat mencari penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan rumah tangga demi masa depan anak-anak.

"Dalam rumah tangga memang tidak lari dari masalah dan terpulang kepada kita untuk mengaturnya.

"Semua ibu pastinya mengharapkan rumah tangga anak dan menantu berkekalan.

"Namun, kita kena reda jika jodoh mereka sampai setakat itu sahaja," katanya.

Pada masa sama, kata Norlia, dia sangat berharap Rusdi dan Sharon akan memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk bercerai.

"Saya pernah melalui keruntuhan rumah tangga dan anak-anak yang menjadi mangsa serta perlu putuskan untuk tinggal dengan emak atau bapa?

"Justeru, sebelum mereka nak buat sebarang keputusan itu fikirlah keutamaan anak-anak dulu dan letak mereka nombor satu dan selepas itu baru fikir perkara lain," katanya.

Terdahulu, Sharon mendedahkan rumah tangganya dengan Rusdi sudah tidak sehaluan sejak beberapa tahun lalu dan percaya perceraian adalah jalan terbaik.

Menurut Sharon, sekiranya Rusdi memberikan lampu hijau, dia bersedia untuk melalui kehidupan solo kerana tidak sanggup untuk menanggung masalah itu.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Rusdi bagi mendapat komen lanjut tidak berjaya apabila panggilan dan mesej yang dihantar tiada balasan.

Rusdi, 53, dan Sharon, 46, berkahwin pada 2008 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata Reo Ridza, 14, dan Ryan Ridza, 11.

Sebelum itu, Rusdi pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki anak lelaki, Efiezal Ridza, 33.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:36 PM