Hariz (kiri) bersama pelakon terkenal Thailand, Pon Nawasch.
Hariz (kiri) bersama pelakon terkenal Thailand, Pon Nawasch.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Hariz Hamdan menyimpan cita-cita untuk melebarkan sayap dalam dunia lakonan di luar negara.

Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 21, berkata, dia bersama pengurus peribadinya sedang dalam perbincangan untuk mengintai peluang berlakon di Indonesia.

"Saya nak ikut jejak langkah selebriti tanah air yang berjaya menempa nama di luar negara seperti Miller Khan yang diterima baik oleh peminat di Indonesia.

"Kalau ada rezeki saya pun nak lebarkan sayap di sana, tapi bukan dalam waktu singkat ini kerana saya perlu buktikan kemampuan saya di negara kelahiran dulu.

"Namun tidak dinafikan pengurus saya sudah melakukan beberapa perbincangan dengan wakil agensi di Indonesia. Semoga ada berita baik untuk saya kongsikan kepada peminat nanti," katanya.

Walaupun masih baharu dalam dunia seni, Hariz bersyukur apabila dipilih menjadi duta jenama kasut antarabangsa, Asics dan berpeluang bertemu dengan pelakon terkenal Thailand iaitu Pon Nawasch baru-baru ini sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mengintai peluang di negara lain.

"Baru-baru ini saya menyertai satu acara larian yang dianjurkan Asics dan bertemu dengan Pon Nawasch. Kami sempat meluangkan waktu bersama dan saling bertukar cerita mengenai pembabitan sebagai pelakon.

"Lama juga kami dapat berborak dan Pon banyak memberikan nasihat untuk saya terus mengejar cita-cita dalam dunia lakonan," katanya.

Pada acara larian Meta Time Trial Asics Malaysia yang berlangsung di Cyberjaya, Hariz dan Pon Nawasch berjaya menamatkan larian 10 kilometer bersama lebih 3,000 peserta yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:21 PM