Raja Mukhriz bersama isterinya
Raja Mukhriz bersama isterinya
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengarah Raja Mukhriz menerima anugerah kecemerlangan akademik di Universiti Utara Malaysia (UUM) kelmarin atas pencapaian pelajar paling cemerlang antara semua bidang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.97.

Raja Mukhriz atau nama sebenarnya Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 51, yang mengambil jurusan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif berkata pencapaian itu didedikasikan buat arwah bapanya.

"Tidak pernah bermimpi mengenai anugerah akademik. Alhamdulillah, hadiah untuk arwah abah. Keluarga sebelah bapa memang sangat pentingkan akademik. Cuma sewaktu remaja, saya tidak ke arah itu.

"Sebelum ini masuk ITM (Institut Teknologi Malaysia) dan selepas tamat pergi akademi filem. Dalam perjalanan itu, bapa meninggal. Lalu pada 2015 selepas sudah banyak pencapaian dalam seni, saya tersentuh untuk sambung balik pengajian.

"Saya nak tukar haluan pula kerana dalam seni kreatif banyak hal kompleks. Pada 2015 itu saya rasa masa paling tepat berbelas tahun dalam industri. Tambahan pula, Pekin cadangkan untuk saya sambung," katanya.

Pengarah juga suami pelakon Sharifah Shahora yang bakal bergraduasi pada lusa ini berkata menimba ilmu di universiti sangat berbeza berbanding menuai ilmu di jalanan.

"Rupanya banyak belajar dan harus diperolehi pasal kajian pengurusan seni kreatif. Saya sarankan orang-orang filem timba ilmu. Memang kena berguru. Kalau ada guru lebih sempurna ilmu itu.

"Persekitaran berlainan, kalau pengarahan saya ketua dan ada pasukan kru. Untuk mendidik mereka daripada segi banyak benda, ilmu saya belajar itu boleh terapkan kepada mereka.

"Saya bersyukur timba ilmu yang bukan dari jalanan. Bila ada ilmu-ilmu yang praktikal, ia sangat bertepatan untuk digunakan industri," katanya.

Raja Mukhriz turut bersyukur mendapat dorongan kuat daripada penyelianya di UUM iaitu Mohd Idzwan Yacob.

Penyampaian anugerah Anugerah Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) itu disempurnakan Canselor UUM, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:47 PM