TANGKAP layar video Syafiq Kyle dan Mimi Lana sedang menikmati hidangan makanan Thailand.
TANGKAP layar video Syafiq Kyle dan Mimi Lana sedang menikmati hidangan makanan Thailand.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Tak jadi berkahwin, mungkin tiada jodoh dan putus tunang. Namun, tak semestinya tidak boleh bersahabat.

Barangkali begitulah gambaran hubungan pasangan pelakon, Syafiq Kyle dan Mimi Lana yang sepatutnya bernikah pada 18 Ogos lalu, namun dibatalkan Mimi pada saat akhir dengan alasan yang masih 'terkunci rapi', tetap menjadi perhatian ramai.

Apatah lagi, baru-baru ini tular di media sosial rakaman video Syafiq dan Mimi yang ditemui keluar makan bersama di sebuah kedai makan di Setapak, di sini, sekali gus menepis dakwaan mereka bersikap dingin di antara satu sama lain.

Menerusi perkongsian video pemilik akaun, AroiMakMak Ahanthai di TikTok menunjukkan kedua-duanya sedang menikmati hidangan makanan Thailand di kedai itu yang dimaklumkan Mimi selalu berkunjung ke sana.

"Tiap-tiap minggu datang sini tau. Semua makanan sedap, ada sup, somtam, pulut mangga. Ada makanan lain yang tak 'order' juga," kata Mimi.

Disifatkan sebagai artis bersikap merendah diri dan 'sporting' kerana ramah serta mesra, ia menjadikan Syafiq dan Mimi diminati ramai peminat.

Rata-rata, warga maya yang menonton video itu gembira dengan hubungan baik masih dijalin Syafiq dan Mimi walaupun mereka tidak jadi bernikah beberapa bulan lalu.

Pelbagai komen ditinggalkan netizen yang mendoakan agar mereka bertemu jodoh semula dan ada juga segelintir mendakwa mereka sebenarnya tidak putus tunang serta masih bercinta.

"Saya tahu yang mereka tidak pernah putus cinta pun," komen netizen.

"Seronok tengok Syafiq dan Mimi happy (gembira), " tulisnya.

"Semoga baik-baik saja dan dipermudahkan urusan," kata seorang lagi netizen.

Terdahulu, berita perkahwinan Syafiq dan Mimi dibatalkan dikongsi pengurus Mimi iaitu Iman Tang menerusi satu mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada wakil media.

Syafiq pula ketika ditemui media pada satu acara hiburan juga enggan memberi komen serta penjelasan berhubung keputusan membatalkan perkahwinan yang dibuat.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Syafiq dan Mimi berhubung video itu tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 11:16 AM