KUMPULAN rock Wings diketuai Awie pada sidang media Konsert Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada Disember ini. FOTO Hazreen Mohamad
KUMPULAN rock Wings diketuai Awie pada sidang media Konsert Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada Disember ini. FOTO Hazreen Mohamad
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Prihatin dengan keganasan di bumi Palestin, vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie merancang acara Solidarity Ride Wings Motor Gang Society pada 13 November ini.

Awie atau pemilik nama penuh, Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, lebih daripada 300 motosikal berkumpul bagi menunjukkan solidariti terhadap Palestin yang tertindas ketika ini.

"Sebenarnya tak perlu tunggu konsert untuk tunjukkan sokongan kepada Palestin. Bukan wang ringgit yang ingin disalurkan sebaliknya solidariti.

"Kami beramai-ramai melaungkan sokongan di sebuah masjid selain merancang solat hajat dan berdoa. Bagaimanapun lokasi belum dapat dikongsikan lagi buat masa ini.

"Tak perlu tunggu konsert, konsert ni kita punya pencarian cari makan untuk meneruskan kehidupan. Kalau tiada konsert, apa yang hendak diberikan kepada anak-anak dan isteri di rumah.

"Saya tahu ramai yang mempertikaikan mengenai penganjuran konsert di saat ini. Tapi itu tidak bermakna kita tidak sensitif mengenai isu ini. Hati dan doa kami sentiasa untuk Palestin," kata Awie ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter anjuran Rumah Produksi Merah, di sini, hari ini.

Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chaper bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 16 Disember ini. Tiket konsert sudah mula dijual dan terdapat juga harga istimewa berjumlah RM125 untuk peminat di zon rock lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 5:23 PM