MAT OVER
MAT OVER
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Sabri Yunus pernah menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Angleline Tan kepada pelakon dan dan pelawak, Sulaiman Yassin atau Mat Over.

Sulaiman ketika dihubungi berkata, ketika itu mereka terbabit dalam program komedi, Karoot Komedia, beberapa tahun lalu.

"Ketika itu dia bercerita sedang berkawan rapat dengan Angeline. Dia bercita-cita memperisterikan Angeline. Katanya waktu itu, Angeline sudah mula belajar mendekati dan mendalami Islam.

"Saya cakap kepada dia, baguslah kalau begitu sebab niat itu niat yang mulia. Bantu dia untuk kenal Islam dan jadikan isteri. Memang dia serius sewaktu bercerita dengan saya," katanya kepada Harian Metro.

Sulaiman popular dengan watak Mat Over dalam sitkom Pi Mai Pi Main Tang Tu bersama Sabri yang membawa watak Wan Ismail Golok dan Angeline sebagai Lucy.

Sulaiman berkata, setiap permulaan yang baik harus diiringi dengan doa yang baik.

"Ketika kami semua bekerjasama satu ketika dulu, saya tengok, hubungan mereka biasa saja. Mungkin pada waktu itu, Sabri memang dah ada isteri dan Angeline pun ada seseorang.

"Sekarang, mereka dah bergelar suami dan isteri. Jadi, untuk benda baik begini, kita doakan yang terbaik buat mereka. Saya doakan agar perkahwinan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sabri dan Angeline selamat diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis, Sabtu lalu.

Sabri sebelum ini kehilangan isteri Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 9:36 PM