IMEJ Islamik tidak bataskan Taiyuddin untuk bawa pelbagai karakter.
IMEJ Islamik tidak bataskan Taiyuddin untuk bawa pelbagai karakter.
Minda Ranggong

"SAYA tak kisah melakonkan apa sahaja watak asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan memesongkan akidah.

"Saya mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga." demikian luah pelakon Taiyuddin Bakar, 40.

Taiyuddin yang juga pelakon Apa Celop Toqq berkata demikian ketika mengulas mengenai kritikan segelintir pihak yang menganggap watak dilakonkan tidak selari dengan penampilan imej Islamiknya.

Dia yang mula berhijrah sejak 2012 malah tidak kisah dengan cakap-cakap orang dan hanya menumpukan tanggungjawab sebagai pelakon.

"Saya hanya melakonkan watak seperti dikehendaki skrip, tetapi di luar saya kembali menjadi Taiyuddin yang sudah berhijrah.

"Sebelum ini ada juga penerbit dan pengarah yang takut untuk mengambil saya berlakon apabila melihat penampilan saya.

"Disebabkan itu saya mencuba pelbagai watak untuk membuktikan kepada mereka supaya tidak menilai saya daripada segi penampilan.

"Contohnya, saya lakonkan watak Sutun, watak antagonis dalam filem Walid. Dalam filem Mat Kola pula, saya juga melakonkan watak pemuda agak nakal dan cuba memikat gadis idaman yang menjadi rebutan dua sahabatnya," kata Taiyuddin yang membawa watak Mat Nor dalam filem Mat Kola arahan Hafiz Nafiah.

Mengulas mengenai cabaran berlakon di bawah arahan Hafiz dengan karakter Mat Nor yang perlu berdialog loghat utara, Taiyuddin berkata dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana Hafiz adalah kawan lamanya dan tahu kredibilitinya dalam bidang lakonan yang sudah diceburi sejak 21 tahun lalu.

"Hafiz yang banyak membantu menguruskan urusan pengebumian arwah bapa mentua, pelakon veteran, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain yang meninggal dunia pada 2020.

"Saya tidak tanya soal bayaran pun kerana khidmat Hafiz menguruskan urusan pengebumian arwah bapa mentua itu lebih bernilai," kata Taiyuddin yang pernah memenangi trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-24.

Katanya, filem Mat Kola membuatkan dia rindu kepada arwah bapa mentuanya kerana sering bercakap loghat utara dan penggambaran filem pula berlangsung di Alor Setar juga memang tempat arwah.

"Cabaran lain pula, saya perlu berlakon dengan gandingan yang bukan pelakon komedi dan tidak pernah bekerjasama sebelum ini," katanya.

Filem Mat Kola mengenai kisah persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah mengusahakan gerai burger iaitu Mat Ki lakonan Usop Mentor, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin).

Filem terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd yang mula ditayangkan pada 21 September lalu turut menampilkan Rozita Che Wan, Ropie, Putri Hanan, Fendi London, Mohd Hafeezul Yop, Abang Gee, Zainon Ismail, Suhaili Che Rus, Cikgu Akop dan Pak Abang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 6:30 AM