Sharul Aimy terbuka untuk ceburi bidang lakonan. FOTO BERNAMA
Sharul Aimy terbuka untuk ceburi bidang lakonan. FOTO BERNAMA
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik negara Sharul Aimy sentiasa terbuka untuk mencuba nasib dalam mengintai peluang sebagai pelakon.

Mengakui pernah terbabit dalam bidang lakonan sebagai watak jemputan (cameo) bagi drama Journal Sara-Haeyo, Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam, 22, memberitahu, ia satu cabaran besar buat dirinya.

"Mungkin boleh cuba… Sebab saya pernah terbabit sebagai cameo dalam drama Journal Sara-Haeyo untuk platform Viu sebelum ini.

"Cuma ia bukanlah satu proses yang mudah sebab untuk babak yang sedikit itu pun, saya perlu jalani penggambaran selama dua hari," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bersama media di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Menurut pemenang pingat gangsa acara melombol lelaki di Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, setiap tawaran yang diterima perlulah mengikut jadual latihannya kerana fokus utamanya kini adalah 'memburu' mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024. 

"Saya sudah beberapa kali ikuti proses penggambaran untuk kempen jenama antarabangsa, dan selalunya, ia dilakukan selepas tamat latihan sama ada pada waktu malam atau hujung minggu.

"Sekarang ini saya memang tiada cuti selepas Sukan Asia kerana nak terus fokus latihan Piala Dunia tahun hadapan.

"Kejohanan itu sangat penting sebab ini peluang terakhir untuk saya layak ke Sukan Olimpik dan jika terlepas saya terpaksa tunggu edisi seterusnya," katanya.

Ditanya apakah yang akan dilakukan selepas bersara daripada sukan gimnastik, Sharul berkata, dia memasang cita-cita untuk bergelar jurulatih sekali gus membawa atlet muda ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selepas bersara, mungkin saya masih akan berada dalam bidang ini, tetapi fokus lebih tertumpu untuk bergelar jurulatih.

"Saya mahu bantu pelapis akan datang membawa impian mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 2:27 PM