Kuala Lumpur : Penyanyi Bad Indigo, 48, mencari solusi untuk membeli alat bantuan berjalan dikenali sebagai X-Leg yang hanya terdapat di California, Amerika Syarikat berikutan pengeluarnya tidak mengirimnya luar dari negara itu.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah berkata, alatan berharga sekitar RM5000 itu turut disarankan oleh juru fisioterapi bagi memudahkan dia bergerak sekali gus memberikan keselesaan buatnya.
"Sekarang ini tapak kaki kiri saya sudah bengkok ke dalam setelah ke semua jari dipotong, akibatnya saya tak boleh pijak lantai langsung kerana akan terasa sakit.
"Saya terjumpa X Leg itu secara tak sengaja di YouTube, alat itu paling baik untuk saya kerana dapat menyokong kaki. Jadi alat itu boleh tolong saya untuk berdiri tanpa perlu berpijak pada lantai.
"Jika dapat beli alat itu, mudahlah sikit saya nak bergerak. Selain itu bolehlah saya terima undangan nyanyian. Sekarang ini penganjur pun tak panggil, mungkin mereka takut menyusahkan saya naik ke pentas sebab berkerusi roda.
"Sekarang ini saya sedang memikirkan cara bagaimana untuk dapatkan alat itu kerana tiada 'shipment' ke luar negara.Sama ada saya sendiri kena ke sana atau saya kena kirimkan pada sesiapa," katanya.
Biarpun belum mempunyai wang yang mencukupi untuk mendapatkan alat bantuan berkenaan, Bad pasti ada jalannya jika sudah menemui solusi membeli alatan canggih itu.
"Kos untuk ke sana pun bukan murah, namun paling jauh pun mereka boleh pos adalah ke Kanada tapi masalahnya saya pun tiada kawan di situ. Alat itu dicipta oleh individu yang pernah patah kaki untuk membantunya bergerak tanpa menggunakan tongkat.
"Tapi masalah kaedah pembelian sangat rumit, malah bila saya minta invois pun mereka tak beri sebab saya berada luar daripada Amerika Syarikat. Jadi selagi belum ada keperluan, saya tak mohon bantuan dulu.
"Walaupun layak untuk mendapatkan zakat dan bantuan lain kerana status Orang Kelainan Upaya (OKU), tapi saya tak gunakan. Bagi saya belum ada keperluan kerana saya masih mampu bekerja.
"Lagipun saya tak nak bantuan itu menjadikan saya malas untuk bekerja sebaliknya hanya mengharapkan duit masuk setiap bulan. Jadi selagi ada kudrat biarlah saya bekerja," katanya.