RUHIL bersama anaknya.
RUHIL bersama anaknya.
Zaara Talita


Petaling Jaya: Penyanyi, Ruhil Amani Hussin, 48, bakal menjelaskan mengenai status rumah tangganya dengan pemuzik, Jamil Wilson dalam tempoh terdekat ini.

Ruhil ketika ditemui berkata, dia perlu berbincang dengan anak-anak kerana enggan mengguriskan hati mana-mana pihak.

"Saya bakal membuka mulut mengenai status rumah tangga dalam tempoh terdekat. Sebarang keputusan perlu dibincang bersama anak-anak dan saya enggan mengguris hati mana-mana pihak," katanya ketika ditemui di majlis ulang tahun ke-18 Mstar dan pelancaran program Mstar Baek di Menara Star, di sini, hari ini.

Ruhil juga meminta diberikan ruang berhubung situasi rumah tangganya yang dikatakan bermasalah itu.

"Seperti yang saya jelaskan, saya membuat keputusan untuk memberikan kenyataan selepas berbincang dengan anak-anak. Tidak bermakna saya ibu, boleh membuat keputusan sesuka hati.

"Apatah lagi mereka sedang meningkat dewasa, jadi penting untuk berbincang secara baik dengan mereka. Namun, saya faham orang ingin ambil tahu.

"Cuma kalau boleh saya tak mahu bercakap mengenainya. Kalau sudah bersedia nanti saya akan beri kenyataan. Ada sebab saya tak mahu berbicara soal peribadi," katanya.

Dalam pada itu, Ruhil turut menafikan kemunculan semulanya dalam industri muzik disebabkan keretakan rumah tangganya.

"Saya minat menyanyi sejak kecil lagi. Walaupun sudah bergelar ibu, namun minat dalam bidang nyanyian sentiasa ada. Sebelum ini saya kurang kerana kekangan masa dan tanggungjawab sebagai ibu serta isteri.

"Namun, memandangkan anak-anak sudah semakin besar, jadi inilah masa yang sesuai untuk membuat kemunculan semula," katanya.

Ruhil berkahwin dengan Jamil pada 2003 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Ruhil Ariana Wilson, 19, dan Raayan Alexander Wildon, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 5:33 PM