Adibah hadir di mahkamah atas tuduhan nusyuz oleh bekas suami, Rosland Othman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Adibah hadir di mahkamah atas tuduhan nusyuz oleh bekas suami, Rosland Othman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon, Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib, 50, mendedahkan perbelanjaan bulanannya dan anak-anak yang diperuntukkan sebanyak RM15,000 sebagaimana dijanjikan bekas suami Rosland Othman, 50, mula tidak diterima pada September 2021 lalu.

Adibah dalam kenyataan di hadapan Hakim Abdul Fattah Kamarudin memberitahu, bekas suami hanya memasukkan jumlah penuh itu selama beberapa bulan selepas berkahwin kali kedua dan kemudian dikurangkan sehingga akhirnya tidak menerima langsung.

Adibah berkata demikian apabila ditanya peguam Rosland, Nurul Balqis Nordin dalam keterangan balas pihaknya pada perbicaraan sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Adibah ketika ditemui berkata, dia bagaimanapun sentiasa mengucapkan terima kasih kepada bekas suaminya sepanjang memberikan perbelanjaan bulanan RM15,000 itu sebelum kemudiannya dikurangkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan.

"Masa mula-mula selepas dia (Rosland) berkahwin dua itu, memang bekas suami ada beri perbelanjaan bulanan penuh untuk saya dan anak-anak sebanyak RM15,000 selama tujuh hingga lapan bulan saja. Tapi, apabila nak hampir setahun, dia mula mengurangkan dan akhirnya tidak memberi langsung

"Malah, bekas suami juga mula tidak balik ke rumah saya, termasuk tidak memberi wang perbelanjaan seperti biasa. Dia hanya bayarkan sewa rumah, kereta, air elektrik dan internet saja," katanya kepada Harian Metro.

Adibah berkata, disebabkan berasa dirinya diabai dan sedih ketika itu, dia membawa diri dan anak-anak bercuti pada 24 September 2021 sehingga Rosland mendakwa dirinya ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin ketika keluar dari rumah.

"Sejak saya pergi hotel bersama anak-anak pada 24 September 2021 itu, dia (Rosland) block (sekat) saya daripada berhubung dengannya sampai sekarang serta berhenti memberi duit belanja dan hanya membayar keperluan asas seperti bil serta sewa rumah.

"Dia juga akan memberikan perbelanjaan sekiranya diminta oleh anak-anak. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih kepada Rosland," katanya tidak bersetuju didakwa nusyuz dan memberitahu sudah membuat permohonan maaf kepada bekas suaminya itu.

Pada perbicaraan hari ini, Rosland tidak hadir kerana kurang sihat. Perbicaraan kes nusyuz ini akan disambung pada 31 Oktober depan untuk Adibah menampilkan saksi bagi pihaknya.

Terdahulu, Adibah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima anak perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 4:12 PM