Detik manis dikongsi Neelofa menerusi media sosial
Detik manis dikongsi Neelofa menerusi media sosial

Kuala Lumpur: Kemesraan pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle yang kembali rujuk pada 31 Ogos lalu semakin terpancar apabila Farid membuat kejutan istimewa dengan menghadiahkan sejambak bunga mawar berwarna merah jambu buat isterinya itu.

Detik bahagia itu dikongsikan pengacara terkenal Neelofa di akaun Instagram Story miliknya semalam.

Pemberian penuh bermakna itu disambut dengan keceriaan oleh ibu kepada dua cahaya mata itu sehingga dikatakan mengundang rasa cemburu buat Neelofa yang sempat merakamkan momen itu.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Neelofa turut meminta sejambak bunga daripada suaminya Haris Ismail.

"Farid Kamil hadiahkan bunga masa Diana di set Naelofar (jenama hijab). Sayang Haris nak bunga berwarna biru," tulisnya.

Terdahulu Farid mengesahkan dia dan isteri kembali rujuk pada penghujung Ogos lalu.

Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 2:31 PM