BOB bersama artis jemputan, Ryzal (kanan) dan Adik Cinta (tengah) yang terbabit dalam Konsert Bob Sentuhan.
BOB bersama artis jemputan, Ryzal (kanan) dan Adik Cinta (tengah) yang terbabit dalam Konsert Bob Sentuhan.
Ramlah Zainal


SELEPAS 12 tahun menanti, impian 'busker' popular di Bukit Bintang, Bob Sentuhan untuk mengadakan konsert skala besar akhirnya tercapai tahun ini.

Konsert istimewa anjuran RYZ Event itu berlangsung di Panggung Asia, Gombak pada 18 November depan.

Menurut Bob atau nama sebenarnya, Muhammad Aizad Rahman, 32, konsert berdurasi tiga jam itu sempena meraikan ulang tahun ke-12 pembabitannya bersama band Sentuhan sejak 2012.

"Secara peribadi, saya juga gementar untuk mengadakan konsert skala besar dan membabitkan jualan tiket ini.

"Setakat ini, persiapan untuk konsert sudah siap sebanyak 80 peratus kerana saya dan band Sentuhan memang 'busking' pada waktu malam.

"Konsert ini juga istimewa kerana ia khusus buat peminat yang menyokong perjuangan muzik kami sebagai 'busker' atau pemuzik jalanan," katanya.

Bob yang juga kerap mengadakan persembahan di depan pusat beli-belah Sogo ditemui pada sidang media Konsert Bob Sentuhan yang berlangsung di Timeless Studio di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengenai pemilihan lagu pula, kata Bob, dia akan menyampaikan rangkaian 25 lagu termasuk 'cover version' artis popular seperti Search dan Ella.

"Saya akan menyampaikan lagu termasuk karya asal daripada bingkisan album Sentuhan yang jarang didengar serta banyak berkisar mengenai Malaysia, jiwa dan persembahan jalanan seperti Aku Cinta Kamu dan Bukit Bintang.

"Walaupun masih mengekalkan konsep 'busking', muzik secara keseluruhannya cenderung kepada lagu hard rock dengan sistem bunyi yang sesuai untuk konsert.

"Apa yang menarik, kami akan buat sesi 'open jamming' yang dibuka kepada mereka yang pernah bersama Sentuhan untuk tampil dengan persembahan spontan," katanya.

Sementara itu, Konsert Bob Sentuhan turut menampilkan dua artis jemputan iaitu penyanyi dari Singapura, Ryzal Aziz dan penyanyi cilik, Cinta Suci Indah Urmila Zaidi atau dikenali sebagai Adik Cinta.

Bob berkata, Ryzal dan Adik Cinta masing-masing menyampaikan tiga lagu pada konsert itu nanti.

"Pemilihan Adik Cinta kerana saya nampak dia memiliki vokal yang baik ketika kali pertama saya menjemputnya menyanyi di Bukit Bintang secara spontan sebelum ini.

"Setakat ini, saya dimaklumkan tiket sudah terjual sebanyak 20 peratus dan ramai juga peminat mahu beli tiket secara fizikal ketika saya 'busking' di Bukit Bintang pada waktu malam," katanya.

Dianjurkan RYZ Event, konsert dengan harga tiket serendah RM68 ini membabitkan kerjasama Timeless Studio dan Mewah Event Management.

Bob mula menyanyi seawal usia 12 tahun dengan bersandarkan minat mendalam dalam bidang muzik.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini pernah bermain muzik di kelab malam dan mengiringi persembahan ramai artis sebelum menjadi penyanyi jalanan pada 2012.

Bob juga mengasah bakat menyanyi pelbagai bahasa dan bermain gitar dengan menjadi 'busker' di kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bintang dan di depan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Bob sudah bergelar penyanyi rakaman dan tampil dengan single berjudul Bukit Bintang yang menampilkan sentuhan Maman Teacher's Pet.

Single terbitan Meta Music Extreme (MMX) itu mengenai cinta yang berputik dan mekar di Bukit Bintang.

Tiket untuk menonton Konsert Bob Sentuhan berharga RM68 hingga RM108 sudah mula dijual di laman web www.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:46 AM