Kuala Lumpur: Penyanyi Zarul Umbrella terharu perkongsian mengenai kerjaya di awan biru membantu seorang individu mendapat kerja sebagai pramugara.
Vokalis kumpulan Umbrella itu berkongsi keterujaan video yang dimuat naik bukan saja untuk hiburan sebaliknya memberi manfaat kepada mereka yang meminati kerjaya dalam bidang penerbangan.
"Saya terharu apabila didatangi oleh seorang jejaka berusia 20-an yang memaklumkan dia adalah salah seorang 'subscriber' saya di Youtube.
Malah, dia baru saja mendapat kerja di Singapore Airlines dengan merujuk kepada Youtube kelolaan saya.
"Katanya, dia menjadikan saluran Youtube saya sebagai rujukan sebelum menghadiri temu duga. Siapa sangka, perkongsian saya sekadar suka-suka itu memberi manfaat.
"Apatah lagi, dia turut datang kepada saya untuk berterima kasih. Jadi, saya terharu apabila ada yang menghargai perkongsian saya itu," katanya kepada Harian Metro.
Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin yang pernah bertugas selama 17 tahun sering memuat naik di Youtube perkongsian pengalaman sepanjang berkecimpung sebagai pramugara.
"Apa yang sering saya kongsikan dalam video adalah apa yang sebenarnya berlaku pada pramugara dan pramugari. Apa yang mereka terpaksa hadapi, realiti.
"Walaupun di sebalik tabirnya mereka nampak dengan 'uniform' cantik kemas, tarik beg, 'make up' tebal, namun perlu hadap mencuci tandas dan sebagainya. Kadang kala fakta-fakta menarik itu orang tak tahu pun," katanya.
Sejajar dengan arus teknologi, Zarul tampil dengan saluran Youtube kelolaannya selepas membuat keputusan meninggalkan kerjaya di awan biru.