Filem arahan Ao Shen mengisahkan cabaran keselamatan siber
Filem arahan Ao Shen mengisahkan cabaran keselamatan siber
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Filem No More Bets melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem berbahasa Cina pertama yang mendapat kutipan RM10 juta dalam tempoh empat hari sejak ditayangkan 7 September lalu.

Filem arahan Ao Shen yang menampilkan pelakon handalan seperti Lay Zhang, Gina Jin, Yong Mei dan Eric Wang, ini turut menjadi filem berbahasa Cina yang paling banyak ditonton serta pantas mencecah kutipan tertinggi.

Jurucakapnya berkata, kejayaan filem terbitan Dirty Monkeys ini sudah mengatasi kutipan pecah panggung sebelum ini dan ia satu medium sosial yang positif.

"Filem ini menggalakkan penonton untuk berani menghadapi cabaran keselamatan siber. Ia mampu memberi iktibar dan manfaat terutama kepada mereka yang terdedah serta mudah ditipu oleh skim jenayah siber.

"No More Bets bukan sekadar sebuah filem tapi satu manifestasi tanggungjawab sosial, mengingatkan penonton untuk terus berwaspada dan menjauhi bahaya penipuan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.

No More Bets mengisahkan dua individu yang terperangkap dalam skim penipuan dalam talian era digital sehingga mereka dipergunakan dan dipaksa untuk menjalankan aktiviti jenayah siber yang berleluasa.

Malah, hasil penipuan tersebut, seorang mangsa hampir membunuh diri dan menyebabkan polis mula menyiasat dalang di sebalik jenayah siber yang menyebabkan ramai individu kerugian jutaan ringgit.

Filem No More Bets diedarkan oleh Megafilms Distribution, kini berada di pawagam seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 2:47 PM