Kuala Lumpur: Pelakon Farid Kamil mendedahkan dia dan Diana Danielle, 32, sudah rujuk semula sebagai pasangan suami isteri pada 31 Ogos lalu.
Menurut Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42, pengalaman lalu sudah mematangkan mereka berdua.
"Alhamdulillah, saya dan isteri kembali rujuk pada 31 Ogos 2023. Kami sepakat untuk rujuk semula kerana agama," katanya ketika ditemubual dalam program hiburan Melodi, semalam.
Mengulas perkara itu lagi, kata Farid, perkahwinannya dengan Diana dapat diselamatkan dengan izin Allah S.W.T.
"Pokoknya adalah agama. Saya sebagai suami boleh membimbing isteri dan dia (Diana) harus meningkatkan ilmu agama supaya dapat membimbing anak-anak.
"Sepanjang bercerai pada 10 Ogos lalu, saya dan Diana mengambil masa untuk muhasabah diri dan menilai semula perkahwinan kami," katanya.
Terdahulu, kemesraan pasangan sensasi ini berpegangan tangan termasuk aksi Farid mencium pipi Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson pada Karnival Mega Suria, petang Sabtu lalu turut mencuri perhatian ramai termasuk netizen.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Bagaimanapun, mereka mengejutkan ramai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata, Farid dan Diana tetap perlu ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan proses rujuk semula itu.
"Diana ada beritahu saya dia mahu berbaik semula dengan Farid. Tetapi setakat ini, dia tidak beritahu pasal rujuk semula itu.
"Kalau sudah rujuk, mereka tetap perlu ke mahkamah syariah untuk disahkan dan barulah sijil rujuk akan dikeluarkan.
"Jika tidak ke Mahkamah Syariah, pihak berkuasa tidak iktiraf rujuk pasangan itu," katanya.