HAFIZ ketika penggambaran.
HAFIZ ketika penggambaran.
Ramlah Zainal


IMPIAN hampir 20 tahun untuk berada di kerusi pengarah buat pelakon Hafiz Nafiah akhirnya tercapai dengan menerajui filem genre komedi berjudul Mat Kola.

Hafiz atau nama sebenar Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, dia bersyukur apabila diberi peluang dan kepercayaan mengarah filem Mat Kola daripada penerbit, Azman Ahmad yang mencadangkannya sebagai pengarah kepada penerbit eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

Menurut

Hafiz, sebelum terjun ke bidang pengarahan dia mengambil peluang menimba ilmu sebanyak mungkin dalam dunia belakang tabir produksi.

"Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, baru saya bersedia menggalas kerusi pengarah.

"Saya percaya tidak semua orang dapat peluang keemasan itu.

"Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.

"Saya harap filem Mat Kola menjadi titik permulaan membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah," katanya.

Bercerita pembabitan awal dalam bidang seni, menurut Hafiz, dia mula terbabit sebagai penyanyi nasyid ketika masih belajar di tingkatan empat.

MAT Kola turut menampilkan Rozita Che Wan sebagai teraju utama.
MAT Kola turut menampilkan Rozita Che Wan sebagai teraju utama.

"Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.

"Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kumpulan Phyne Ballerz.

"Kemudian saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004," katanya.

Hafiz kemudian ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.

"Saya bermula sebagai 'runner', pembantu produksi, 'handyman', pengurus produksi dan konti termasuk terbabit

dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehingga diberi peluang menjadi penolong pengarah.

"Saya memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz," kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama Mat Kola dipilih kerana filem ini menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

HAFIZ (berdiri kanan) bersama sebahagian daripada barisan pelakon Mat Kola.
HAFIZ (berdiri kanan) bersama sebahagian daripada barisan pelakon Mat Kola.

"Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.

"Filem ini mengambil masa dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya," katanya.

Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.

Mat Kola terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd menampilkan barisan pelakon popular tanah air antaranya Rozita Che Wan yang membawakan watak Che Som, Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali), Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

Ia ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 6:30 AM