ST12 bakal kolaborasi bersama Hazama dalam konsert cukup padu di Zepp Kuala Lumpur.
ST12 bakal kolaborasi bersama Hazama dalam konsert cukup padu di Zepp Kuala Lumpur.
Georgie Joseph


Ketiadaan penyanyi terdahulunya Charly bukan kekangan buat kumpulan ST12 menggamatkan konsert ST12 Live Concert In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan.

Konsert yang akan menampilkan Firman Siagian dan juara Indonesian Idol musim kelima, Aris sebagai vokalis utama itu masih tetap padu. Pelbagai pelan dirancang mereka demi hiburkan peminat di sini.

Mengulas penampilan Aris sebagai vokalis selain mengekalkan Firman yang pernah mengukuhkan nama ST12 menerusi single Kepingan Hati pada 2019, Pepep berkata, siapa pun terpilih menggalas peranan itu, posisi ST12 tetap dipertahankan.

"ST12 bukan lagi sekadar sebuah band, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah jenama. Justeru, sesiapa pun yang menggalas peranan sebagai vokalis, jenama ST12 tetap dibawa bersama.

"ST12 sentiasa mencuba dengan membuka kesempatan untuk bekerjasama dengan semua penyanyi berbakat hebat. Alhamdulillah, usaha ST12 berhasil apabila kerjasama kami dengan beberapa penyanyi terdahulu meraih sukses luar biasa," katanya.

ST12 juga pernah cuba menampilkan Ridho menerusi single Putih Putih Melati pada 2013 berjaya mencatat 16 platinum di Asia, disusuli kerjasama bersama Firman menerusi Kepingan Hati yang melakar 10 platinum.

Melewati dua dekad, keampuhan jenama ST12 tidak mampu disangkal lagi apabila populariti band pop Melayu yang ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2004 itu terus utuh merentas masa.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap itu, semangat juang Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Muh. Indra Gunawan atau Indra (bass) mempertahankan jenama ST12 supaya kekal sebaris band popular Indonesia lain tidak pernah goyah.

Percaya dengan keutuhan jenama yang sudah dua dekad bertapak itu, didukung kekuatan muzik yang menjadi sandaran utama untuk terus mendekati peminat, ST12 bersedia kembali dengan semangat baharu.

ARIS turut ditampilkan sebagai penyanyi utama.
ARIS turut ditampilkan sebagai penyanyi utama.

Dibawakan My Legacy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Laskhar Entertainment, ST12 Live Concert In Kuala Lumpur turut menampilkan penyanyi popular Malaysia, Hazama.

Pepep berkata, pemilihan Hazama bertepatan dengan usaha mereka yang mahu menyatukan pengkarya antara dua negara serumpun, selain memperluaskan lagi pengaruh muzik ST12 dengan mendekati kelompok peminat baharu.

Kemunculan Hazama dalam konsert itu katanya, secara tidak langsung menjadi pemacu dalam merancakkan siri promosi single kerjasama mereka, Harapan Tak Kunjung Usai.

"Kami mahu menyajikan sesuatu yang segar dan berbeza buat peminat di kedua-dua negara. Pencinta muzik baik di Malaysia, mahupun di Indonesia mempunyai cita rasa sama.

"Malah, genre muzik pengkarya di kedua-dua negara juga hampir sama. Itu menjadi antara faktor utama yang mendorong ST12 untuk berkolaborasi dengan Hazama. Mudah-mudahan usaha kami diterima, apatah lagi karakter vokal Hazama begitu serasi dengan melodi lagu ini.

"Sekiranya ingin tahu bagaimana karakter muzik ST12 apabila bersatu dengan Hazama di pentas, jangan lepaskan peluang mendapatkan tiket ke konsert ini," katanya.

Harapan Tak Kunjung Usai dilancarkan di Indonesia pada 5 September lalu, seterusnya diperkenalkan kepada peminat di negara ini pada 18 September depan.

Sementara itu, Hazama yang berbesar hati dengan peluang diberikan menyifatkan kolaborasi bersama ST12 sebagai ruang terbaik untuk memperkenalkan bakatnya di negara jiran.

"Siapa yang tidak kenal ST12? Saya sendiri mengagumi kekuatan muzik mereka yang berjaya menyatukan peminat di kedua-dua negara. Apabila diberi kesempatan besar seperti ini, pastinya saya menyambut dengan tangan yang terbuka.

"Kerjasama ini juga membuka ruang untuk saya meneroka pasaran baharu dengan lebih agresif, sekali gus membantu saya memahat nama dengan lebih kukuh di Indonesia," katanya.

Tiket ST12 Live Concert In Kuala Lumpur berharga antara RM139 hingga RM4,099.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:44 AM